X

Kindly register in order to view this article
!

Real sepatutnya menang lawan Barca, kata Zidane

Zidane menyatakan pasukannya boleh memenangi perlawanan El Clasico sekiranya peluang dimiliki pemain berjaya diterjemahkan kepada gol. - Foto: ronaldo.com
A
A

PENGENDALI Real Madrid, Zinedine Zidane pasukannya mampu menewaskan Barcelona pada pertembungan El Clasico awal pagi tadi sekiranya peluang yang dimiliki anak buahnya berjaya diterjemahkan dalam bentuk gol.

Pertembungan di Nou Camp itu menyaksikan keputusan seri tanpa jaringan walaupun kedua-dua pasukan mempunyai peluang menjaringkan gol.

Namun begitu, Zidane berpuas hati dengan prestasi pemain Real yang berjaya memberi ancaman kepada pintu gol dan mengekang asakan lawan.

"Kami berhak menang dalam pertembungan ini tetapi ini ialah bola sepak dan kita tidak selalu dapat apa yang diharapkan dalam perlawanan.

"Saya berpuas hati dengan prestasi pasukan. Kami perlu lebih tajam kerana setiap pasukan yang bertemu Barcelona perlu menggunakan peluang sebaik mungkin.

Berdasarkan statistik perlawanan, Real melakukan 17 rembatan ke arah gol Barca dengan empat daripadanya tepat ke arah gol yang menyaksikan tiga tendangan memerlukan Marc-Andre ter Stegan bekerja keras menyelamatkannya.

Selain itu jaringan pemain sayap Real Madrid, Gareth Bale pada separuh masa kedua dibatalkan selepas pengadil mengesan kedudukan offside Ferland Mendy sewaktu membuat hantaran.

Dengan keputusan itu Real dan Barca masih berkongsi mata di puncak liga dengan mata sama iaitu 36 dan cuma dibezakan dengan jaringan.

Sementara itu, Kapten Real, Sergio Ramos mendakwa pasukannya patut mendapat dua penalti susulan kekasaran ke atas pemain pasukan itu.

"Pertama pada minit ke-18 di mana pertahanan Barca, Clement melakukan kekasaran ke atas Raphael Varane. Sejurus selepas itu, Ivan Rakitic pula menarik Varane dalam kotak penalti ketika bersedia menerima bola daripada tendangan sudut.

"Kami menonton rakaman kekasaran itu ketika rehat separuh masa pertama dan cukup jelas ia patut diberikan penalti. Tapi tidak ada apa yang boleh mengubah keputusan pengadil.

"Kewujudan Video bantuan pengadil (VAR) ialah untuk membantu pengadil ketika berlaku keraguan. Namun ia tidak berlaku, kita terlepas penalti," katanya.

Keputusan seri pada pertembungan El Clasico adalah yang pertama selepas 17 tahun dan kali terakhir ia berlaku ialah pada 2002.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus