Lawatan kerja MB Johor ke Mesir, Jordan sudah dirancang awal

Dr Sahruddin Jamal
Dr Sahruddin Jamal
A
A
A

JOHOR BAHRU - Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal menegaskan lawatan kerja rasmi ke Mesir dan Jordan yang dihadirinya kini sudah dijadualkan lebih awal sebelum bencana banjir berlaku di Johor.

Menerusi kenyataan Pejabat Menteri Besar Johor hari ini, lawatan bersama delegasi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) itu bertujuan memperkukuh jalinan kerjasama Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH), Universiti Al-Azhar dengan universiti-universiti di Jordan.

Walaupun berada di luar negara, Dr Sahruddin sentiasa memantau situasi banjir di negeri ini yang menunjukkan penurunan dengan bilangan mangsa pada sebelah pagi tadi direkodkan seramai 2,669 berbanding 9,151 orang pada 16 Disember lalu.

Malah sebelum berlepas ke Mesir Selasa lalu, beliau sudah melawat beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) dan melakukan tinjauan udara.

Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan universiti-universiti di Jordan dan bertemu Anak Johor yang belajar di Jordon dan Mesir antara pengisian lawatan kerja rasmi itu.

Lawatan kerja tersebut turut disertai Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Tosrin Jarvanthi, Penasihat MAINJ, Datuk Dr Noh Gadot; Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Datuk Md Rofiki A Shamsudin dan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad.

Semalam, bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menemplak Dr Sahruddin yang mengadakan lawatan ke Mesir ketika Johor teruk dilanda banjir.

Naib Presiden UMNO itu mengkritik Dr Sahruddin Jamal dengan mempersoalkan kewajaran lawatan tersebut walaupun sudah dirancang lebih awal.

Artikel Berkaitan: