Restoran terapung henti operasi sementara waktu

Mohd Shukri membuat persediaan di restoran terapung miliknya.
Mohd Shukri membuat persediaan di restoran terapung miliknya.
A
A
A

JERANTUT- Pengusaha restoran terapung di Taman Negara, Kuala Tahan kini menutup operasi perniagaan mereka sebagai langkah menghadapi ancaman gelombang kedua banjir.

Peniaga membuat persediaan dengan memastikan barangan di dalam premis disimpan dalam keadaan selamat.

Pengusaha, Mohd Shukri Hussin, 52, berkata, ketika ini sebahagian besar mereka tidak beroperasi sebaliknya menumpukan kepada keselamatan rakit masing-masing.

"Biasanya pada penghujung tahun sehingga awal Januari air sungai Tembeling berlaku pasang besar kerana musim hujan. Amaran gelombang kedua banjir dijangka bermula 25 dan 26 Disember ini.

"Kami sudah bersedia dan akan memastikan rakit berada dalam keadaan selamat apabila berlaku banjir.

"Kami akan menarik rakit ke tebing sungai terutama ke kawasan yang selamat dan jauh dari arus deras Sungai Tembeling," katanya.

Selain itu katanya, pengusaha terlibat akan menambah tali ikatan rakit bagi mengelakkan dihanyutkan oleh air deras.

Menurutnya, walaupun keadaan air di paras berjaga-jaga, mereka tetap mengambil langkah sewajarnya.

Artikel Berkaitan:

"Kami bimbang air naik dengan mendadak apabila hujan turun di kawasan hulu sungai dan tidak sempat mengalih rakit ke tebing sungai.

"Ada juga pengusaha yang sanggup membuka struktur bangunan di atas rakit mereka dan memasangnya semula selepas banjir," katanya.

Mohd Shukri memberitahu, setiap kali selepas banjir akan berlaku kerosakan akibat dilanda arus deras dan perlu dibaiki sebelum boleh beroperasi semula.

Restoran terapung antara tarikan di kawasan Taman Negara selain menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara menikmati pelbagai menu tempatan dan barat.

Pelanggan juga boleh melihat pemandangan dari tebing sungai.