X

Kindly register in order to view this article
!

Di mana hilangnya kaum Adam

A
A

SAYA tercari-cari topik apa yang hendak saya tulis pada ruangan kolum minggu ini.

Ada yang mencadangkan isu pengangguran siswazah.

Dalam pencarian tersebut, seperti biasa, saya akan membaca akhbar untuk mencari tajuk yang menarik perhatian saya.

Saya tertarik kepada bahagian akhir tulisan Kolumnis Tok Perak dalam akhbar Sinar Harian yang menyebut tentang graduan perempuan lebih ramai mendapat pekerjaan pada tahun 2018 berbanding lelaki berdasarkan laporan Statistik Siswazah 2018 oleh Jabatan Perangkaan.

Saya terus mencari dan membaca laporan itu untuk mendapat maklumat terus dari sumber asal.

Dalam laporan itu dinyatakan jumlah graduan pada tahun 2018 ialah 4.96 juta orang mewakili kenaikan 7.6 peratus daripada 4.61 juta pada tahun 2017.

Graduan yang bekerja ialah berjumlah 3.99 juta orang.

Graduan perempuan mengatasi lelaki daripada aspek itu di mana graduan perempuan menyumbang sebanyak 50.4 peratus, manakala graduan lelaki sebanyak 49.6 peratus.

Jumlah pengangguran pula ialah 162.0 ribu orang di mana 56.9 peratus daripadanya ialah graduan perempuan, sementara 43.1 peratus pula graduan lelaki.

Berbalik kepada tulisan Tok Perak, beliau mengakhiri komennya tentang graduan perempuan lebih ramai yang bekerja berbanding lelaki dengan pertanyaan: “Adakah itu bermakna graduan perempuan lebih bijak berbanding lelaki?

Atau adakah sebab mereka lebih cantik dan memikat?

"Sebenarnya, untuk menjawab secara tepat persoalan graduan perempuan lebih ramai bekerja berbanding lelaki, satu kajian menyeluruh perlu dibuat.

Dalam ruang terhad ini saya cuba melontarkan buah fikiran berdasarkan pengalaman mengajar di salah sebuah institusi pengajian tinggi terkenal di Malaysia.

Ketika saya memulakan pekerjaan sebagai pensyarah, saya mengajar mata pelajaran teras bagi pelajar Sarjana Muda. Ini bermakna ramai pelajar yang akan ambil mata pelajaran yang saya ajar.

Setiap kali memasuki dewan kuliah, memang pelajar perempuan jauh lebih ramai daripada lelaki yang mungkin saya anggarkan tiga kali ganda daripada lelaki.

Insan terpilih

Dari segi kecerdikan, secara umumnya saya tidak melihat perbezaan signifikan antara pelajar perempuan dan pelajar lelaki. Mereka semua pandai sebab mereka insan terpilih pun.

Cuma berdasarkan pengalaman mengajar dan observasi saya sepanjang mendidik mereka, pelajar perempuan lebih fokus dan rajin sedikit berbanding pelajar lelaki.

Mungkin itu membuatkan mereka lebih terkedepan berbanding lelaki seperti kepimpinan, kemahiran berkomunikasi dan sebagainya.

Begitu juga dengan aspek kecantikan dan daya tarik yang ada pada perempuan bukanlah faktor mereka lebih ramai bekerja berbanding lelaki kerana lelaki juga ada daya tarik tersendiri.

Jadi saya lebih cenderung untuk mengatakan bilangan perempuan yang lebih ramai bergraduasi yang menjadi salah satu faktor utama mengapa graduan perempuan lebih ramai bekerja.

Ia kerana majikan boleh membuat pilihan yang banyak daripada kalangan graduan perempuan berbanding graduan lelaki.

Antara faktor lain juga adalah kesesuaian tabiat pekerjaan itu sendiri yang lebih sesuai untuk perempuan dan majikan cenderung memilih pekerja perempuan berbanding lelaki dalam sektor tertentu.

Kerja-kerja yang perlukan ketelitian dan renyah biasanya sanggup dilakukan orang perempuan berbanding lelaki.

Apapun itu sekadar pandangan saya yang mungkin betul dan mungkin juga salah.

Saya juga tertarik tentang isu pengangguran di mana dinyatakan seramai 162,000 graduan pada tahun 2018 yang menganggur di mana ia meningkat 4.6 peratus dari tahun 2017.

Pengangguran didefinisikan sebagai satu keadaan apabila individu yang boleh bekerja dan ingin bekerja pada satu tingkat upah tertentu gagal mendapat sebarang pekerjaan.

Definisi itu nampaknya lebih cenderung kepada bekerja makan gaji dan bukannya bekerja sendiri.

Saya tiada kepastian apakah takrif menganggur yang diterima pakai oleh Jabatan Perangkaan.

Saya sekadar ingin mengatakan kepada para pelajar agar membina kemahiran insaniah semasa di peringkat universiti lagi.

Kemahiran komunikasi, pemikiran kritis, kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran kerja berpasukan, pembelajaran berterusan dan pengurusan maklumat, kemahiran keusahawanan, moral dan etika profesional dan kemahiran kepimpinan, semuanya penting untuk meningkatkan tahap kebolehpasaran kita.

Semua kemahiran itu tidak boleh dicapai melalui pembacaan semata-mata. Ia boleh dibina melalui latihan secara praktikal.

Akhir kalam, bertebaranlah di muka bumi ALLAH ini dan pasti ditemukan rezeki untuk kita.

*Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus