X

Kindly register in order to view this article
!

Jangan ‘gubra’ menerima berita buruk

Gambar hiasan.
A
A

SAMPAI sekarang saya selalu ingat dan masih berpegang kepada pesanan abah.

Katanya, jangan cepat gubra atau panik jika menerima berita buruk. Dan jangan terlalu gembira atau excited sekiranya ada berita baik.

Tegasnya: Dalam apa keadaan pun kita kena bertenang atau cool.Contoh berita buruk ketika itu ialah makwe sekelas kena pinang guru disiplin. Contoh berita gembira ialah dapat tujuh A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Abah sudah lama pergi, semoga rohnya ditempatkan bersama orang beriman tetapi nasihat yang diberi ketika saya masuk sekolah menengah itu masih amat relevan. Pesanan itu menyelamatkan saya dalam kehidupan siber yang serba mencabar ini.

Satu hari, saya menerima panggilan telefon. Suara di hujung talian berkata: Rekod kami menunjukkan hutang anda dengan (nama bank disebut) dan telah tertunggak selama tiga bulan.

Memang tersentak, lebih-lebih lagi suara itu menambah: tindakan mahkamah akan diambil ke atas anda, sila tekan 9 untuk bercakap dengan pegawai jabatan guaman kami.

Saya tidak pernah berhutang dengan bank yang disebut itu, jadi saya tahu panggilan telefon ini adalah satu scam. Tetapi ada orang cepat panik dengan scam seperti itu, dan akhirnya terperangkap.

Contoh, beberapa hari lalu di Labuan, seorang pelajar universiti awam kerugian RM43,470 dipercayai ditipu sindiket Macau Scam.

Menurut polis, seperti yang dilaporkan media, pelajar wanita berusia 22 tahun itu dihubungi seseorang yang tidak dikenali mendakwa dirinya anggota polis, meminta sejumlah wang untuk menyelesaikan satu kes mahkamah berhubung pengubahan wang haram.

Di Kepala Batas, seorang peniaga berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM285,000 lesap selepas diperdaya sindiket Macau Scam minggu lalu.

Rugi

Hampir setiap hari kita membaca berita yang sama, penipuan pelbagai scam yang menurut polis melibatkan mangsa kerugian RM berjuta-juta.

Tip mengelakkan diri daripada scam, kalau pun anda berhutang, tidak perlu gubra sekiranya ada panggilan mengugut daripada pihak yang tidak dikenali.

Kalau berhutang dengan bank, surat rasmi dari bank atau peguamnya sahaja yang akan dikirim kepada anda. Lain-lain pihak, termasuk polis hatta Peguam Negara tidak boleh menuntut bayaran.

Kalau anda berhutang dengan ah long dan diugut oleh pemanggil tidak dikenali, jangan layan dan buat laporan kepada pihak berkuasa tetapi sekiranya anda tidak berhutang dengan sesiapa, jangan panik sehingga sesak dada dengan panggilan seperti itu.

Suatu hari, saya menerima e-mel daripada seorang ‘Maria Andrew,’ ibu tunggal beranak dua yang kini menetap di Perth, Australia.

Dia menulis dalam bahasa Inggeris: Arwah suami saya meninggalkan wang berjumlah AS$3.5 juta. Saya bercadang membawa keluar wang ini dan memindahkan ke akaun di Malaysia.

Bunyinya memang sedap, lebih-lebih lagi apabila Maria menambah: Saya ingin memindahkan wang ini ke akaun anda. Sila beri nombor akaun bank anda. Sebagai imbuhan saya akan memberi anda AS$500,000 atas pertolongan anda ini.

Fuhhh, AS$500,000 dolar, saya akan jadi jutawan! Tetapi saya tidak excited. Sebaliknya saya bertanya, siapa ibu tunggal beranak dua ini? Macam mana dia boleh kenal saya? Apa hal yang dia tidak fasal-fasal hendak bersedekah duit itu kepada saya?

Tetapi sesetengah orang cepat hilang pertimbangan dan terus berkhayal sekiranya menerima berita baik seperti itu. Sebab itu banyak juga yang tertipu cara begini.

Contoh, seperti yang dilaporkan media di Johor Bahru seorang ibu tunggal rugi RM380,000 akibat diperdaya seorang lelaki yang dikenali Facebook sejak setahun lalu.

Menurut polis, mangsa yang dikenali sebagai Lee, 50, itu memanggil lelaki berkenaan sebagai suami walaupun tidak pernah bersua muka.

Episod derita wanita berkenaan bermula apabila dia menerima satu panggilan yang memintanya menjelaskan satu bayaran kerana barangan dikirim kenalan Facebooknya itu disekat kastam pada 6 November 2018.

Beberapa hari selepas itu, dia menerima panggilan daripada seorang ejen kastam yang memaklumkan barangan tersebut ditahan dan hanya boleh diserahkan jika saya membayar wang sebanyak RM5,000. Akhirnya dia tertipu RM beratus-ratus ribu!

Maka, ingatlah pesanan abah: tidak kira berita baik atau berita buruk, jangan gubra, jangan panik. Maksud abah, gunakan fikiran, dan bernafaslah seperti biasa!

* Datuk Abdul Jalil Ali ialah Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian. Beliau juga merupakan Profesor Adjung di Universiti Malaysia Sabah (UMS)


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!