Masa depan media Malaysia pada 2020

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KURANG 12 hari sahaja lagi tirai 2019 bakal melabuhkan tirainya dan menyambut ketibaan tahun 2020, tahun yang pastinya lebih mencabar dan mendebarkan bagi semua sektor.

Dalam banyak-banyak industri, media merupakan salah satu pihak yang menerima kesan paling dahsyat pada tahun ini apabila beberapa syarikat terpaksa menutup operasi akibat tekanan ekonomi dan operasi yang tidak memihak kepada mereka.

Kisah sedih itu bermula apabila akhbar berbahasa Inggeris, The Malay Mail menghentikan operasi cetak pada Disember tahun lalu setelah wujud selama 122 tahun dan hanya beroperasi secara dalam talian.

Kemudian, akhbar Tamil Nesan iaitu antara akhbar tertua di Asia Tenggara yang diterbitkan pada tahun 1924 pula ditutup 1 Februari lalu.

Isu pertama akhbar Tamil Nesan diterbitkan pada 24 September 1924 dan disasarkan untuk masyarakat India. Akhbar Tamil di Malaysia termasuk Malaysian Nanban, Makkal Osai dan Tamil Malar juga terkesan.

Lebih mendukacitakan, pada Oktober lalu, akhbar berbahasa Melayu tertua negara, Utusan Malaysia dan Kosmo! menamatkan operasi selepas 80 tahun dalam bisnes berkenaan.

Dukacita bukan sahaja kerana akhbar-akhbar itu merupakan sejarah negara tetapi para karyawan yang berbakat besar juga terumbang ambing mengenangkan nasib serta keluarga mereka. Golongan itu masih boleh menyumbang kepada negara dan tidak wajar dipersia-siakan begitu sahaja.

Terbaru, seramai 543 kakitangan kumpulan New Straits Times Press (NSTP) ditamatkan perkhidmatan pada Mac tahun depan berikutan langkah pengurangan pekerja oleh Media Prima Bhd.

Artikel Berkaitan:

Pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) NSTP, Farah Marshita Abdul Patah berkata, pengecilan operasi memberi kesan kepada tiga penerbitan iaitu New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro dan hari terakhir untuk mereka yang terkesan telah ditetapkan pada 12 Mac.

Penutupan empat buah akhbar Malaysia dan pengecilan operasi syarikat media tidak boleh dipandang sepi terutama kerajaan. Satu langkah proaktif dan cepat wajar diusahakan agar industri media bernafas semula.

Mahu atau tidak kerajaan atau menteri terlibat harus tampil membantu mengeluarkan pelan kecemasan agar industri media tidak hapus dek zaman.