Empat individu tak mengaku sokong LTTE

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Empat lelaki termasuk seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi hari ini atas tuduhan memberi sokongan dan memiliki barang berkaitan kumpulan pengganas Tamil Eelam (LTTE).

ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran, 60, ahli DAP V Suresh Kumar, 43, peniaga, B Subramaniam, 57, dan pengutip besi A Kalaimughilan, 28, membuat pengakuan itu di dua mahkamah berasingan.

Mengikut pertuduhan, Gunasekaren, Suresh, Subramaniam dan Kalaimughilan didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE menerusi kenyataan di laman sosial Facebook menggunakan nama masing-masing iaitu Dap Guna Palanisamy, Us Subra Subramaniam, RocketSuresh DAP dan Kalai Mugilan.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8 (M) Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman di sini antara 7 Oktober dan 11 Oktober 2019, pada masa berlainan iaitu jam 2 petang dan jam 6 petang.

Pertuduhan dibacakan dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan Tamil di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Muhammad Jamil Hussin.

Selain itu, Kalaimughilan turut menghadapi tiga lagi pertuduhan iaitu mengedar item, memberi sokongan dalam majlis dan memberi sokongan kepada LTTE di aplikasi YouTube.

Pemuda berusia 28 tahun itu didakwa mengedar item dan memberi sokongan dalam majlis berkaitan LTTE di Dewan Tan Sri Soma, Wisma Tun Sambanthan, Jalan Sultan Sulaiman, Kampung Attap di sini pada 8 hingga 11.30 malam, 17 Mac 2014.

Bagi pertuduhan mengedar item berkaitan pengganas, dia didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dilucuthakkan mana-mana item tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sementara pertuduhan memberi sokongan menggunakan aplikasi YouTube, dia didakwa melakukan perbuatan itu di Tingkat 24, Bahagian E8 (Counter Terrorism), Cawangan Khas, Bukit Aman.

Kesalahan didakwa dilakukan pada jam 10 pagi, 2 Jun 2014 lalu.

Bagi kesalahan memberi sokongan, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Abd Rahman dan Aslinda Ahad.

Dalam pada itu, Hakim Muhammad Jamil menetapkan 20 Januari tahun depan sebagai tarikh serahan dokumen serta pengurusan kes Gunasekaran.

Sementara itu, Hakim Mohamed Zaini menetapkan 15 Januari bagi Suresh dan Subramaniam manakala 3 Januari untuk Kalaimughilan.

Hari ini merupakan hari pertama pertuduhan dibaca di Mahkamah Tinggi selepas tiga Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan pihak pendakwaan memindahkan kesemua kes.

Terdahulu pada 10 Oktober lalu, dua ADUN dari Melaka dan Negeri Sembilan antara tujuh individu ditahan mengikuti Akta SOSMA selepas dipercayai terbabit dengan LTTE.

Dua hari kemudian, polis menahan lima lagi individu selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan yang diklasifikasikan sebagai pengganas di Malaysia sejak 2014.

Untuk rekod, LTTE merupakan organisasi militan diasaskan oleh Velupillai Prabhakaran malah turut tersenarai sebagai pengganas di Amerika Syarikat (AS), Sri Lanka dan India.