Anak buaya sesat naik ke darat mati dilanggar

Anak buaya tembaga tersebut dipercayai tersesat dari sungai berhampiran. Anak buaya tersebut dipercayai mati dilanggar lori. FOTO: Pembaca.
Anak buaya tembaga tersebut dipercayai tersesat dari sungai berhampiran. Anak buaya tersebut dipercayai mati dilanggar lori. FOTO: Pembaca.
A
A
A

MERSING - Penduduk di Kampung Tenglu di sini gempar selepas menemui bangkai seekor anak buaya di atas jalan raya pagi tadi.

Seorang pemuda yang hanya ingin dikenali sebagai Nizam, 39, berkata, ketika kejadian pada kira-kira jam 9 pagi tadi, beliau sedang memandu ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Tenglu.

"Bagaimanapun secara tiba-tiba sebuah kereta di depan saya brek secara mengejut dan menghasilkan bunyi yang kuat kerana terlanggar objek keras.

"Pelanggaran itu mengakibatkan 'bumper' kenderaan terbabit hampir tercabut selepas melanggar kulit keras haiwan berkenaan yang dipercayai anak buaya,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sementara itu Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban mengesahkan menerima aduan berkaitan seekor anak buaya ditemukan mati di Kampung Tenglu, Mersing seperti yang tular di laman sosial Facebook.

Beliau berkata, siasatan telah dijalankan oleh empat orang kakitangan Pejabat Perhilitan Daerah Mersing yang mana maklumat awal mendapati buaya berkenaan disyaki mati dilanggar lori di hadapan Pejabat Penghulu Mukim Tenglu, Mersing malam tadi.

"Kita juga mendapati terdapat parit air bersebelahan dengan pejabat terbabit selain sungai berhampiran merupakan Sungai Tenglu Besar yang terletak kira-kira 700 meter dari lokasi kejadian.

"Kita percaya bahawa anak buaya tembaga tersebut telah tersesat masuk ke dalam parit air tersebut semasa banjir baru-baru ini," kata Salman ketika dihubungi Bernama di sini.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun beliau berkata, usaha bagi mendapatkan maklumat lanjut gagal apabila pengguna yang berkongsi gambar berkenaan di media sosial gagal dihubungi.

“Setakat ini bangkai anak buaya itu masih belum ditemui atau diserahkan kepada Perhilitan. Kami harap penduduk yang ada maklumat mengenai di mana bangkai haiwan itu dibuang atau ditanam supaya menghubungi pihak Perhilitan Johor dengan segera,” katanya.

Menurut Salman, spesies buaya tembaga merupakan spesies yang dilindungi sepenuhnya dan orang ramai tidak boleh menyimpan spesies tersebut meskipun bangkainya tanpa permit khas daripada jabatan berkenaan.

"Justeru, sekiranya terdapat individu yang masih menyimpan bangkai buaya tersebut disaran agar menyerahkannya kepada pejabat Perhilitan terdekat untuk tindakan selanjutnya," katanya. - Bernama

Semalam, Jabatan Perhilitan Johor menasihati orang ramai supaya berwaspada tentang kemungkinan terdapat buaya tembaga ‘yang tersesat’ dari sungai berdekatan akibat banjir melanda sembilan daerah negeri ini

ARTIKEL BERKAITAN Waspada buaya sesat ketika banjir