Itu dakwaan liar, kata Guan Eng

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyifatkan dakwaan bahawa projek pembangunan Bandar Malaysia diteruskan seperti dahulu tidak berasas selain cubaan untuk mengelirukan rakyat.

Menurut Guan Eng, projek bernilai RM140 juta itu diteruskan selepas hasil rundingan semula Kementerian Kewangan dan pemaju swasta mendapati ia memberi keuntungan lebih RM4 bilion kepada negara.

Katanya, melalui rundingan semula itu syarat-syarat kontrak juga turut ditambah baik supaya ia bebas daripada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Dakwaan liar pihak tidak bertanggungjawab bahawa projek ini diteruskan sahaja seperti dahulu, bukan sahaja tidak berasas malah sengaja mahu mengelirukan rakyat dan mengalih perhatian daripada kejayaan kerajaan hari ini menambah baik terma kontrak dan menguntungkan negara.

"Seperti umum ketahui, Iskandar Waterfront Holdings (IWH) dan China Railway Engineering Corp (CREC) sebagai sebuah konsortium telah memenangi tender untuk membangunkan Bandar Malaysia pada tahun 2015.

"Namun pada Mei 2017, perjanjian ini telah dibatalkan oleh pentadbiran terdahulu apabila skandal 1MDB mulai terbongkar.

ARTIKEL BERKAITAN: Bandar Malaysia dibangunkan semula

"Setelah proses detoksifikasi dijalankan oleh kerajaan baru ke atas projek ini terhadap unsur-unsur skandal 1MDB, maka keputusan dibuat untuk meneruskan semula perjanjian tersebut bila terbukti ia masih (kerajaan) berupaya menjana manfaat ekonomi terhadap pembangunan dalam bandar bagi di Malaysia," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Artikel Berkaitan:

Dr Mahathir (lima dari kiri) menyaksikan majlis pertukaran dokumen perjanjian Pembangunan Bandar Malaysia antara Naib Pengerusi Eksekutif Iskandar Waterfront Holdings, Tan Sri Lim Kang Hoo (empat dan kiri) dengan Ahli Lembaga Pengarah TRX City Sdn Bhd, Datuk Asri Hamidon (tiga dari kanan) di Putrajaya. - Foto Bernama
Dr Mahathir (lima dari kiri) menyaksikan majlis pertukaran dokumen perjanjian Pembangunan Bandar Malaysia antara Naib Pengerusi Eksekutif Iskandar Waterfront Holdings, Tan Sri Lim Kang Hoo (empat dan kiri) dengan Ahli Lembaga Pengarah TRX City Sdn Bhd, Datuk Asri Hamidon (tiga dari kanan) di Putrajaya. - Foto Bernama

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, susulan penandatanganan Perjanjian Rangka Kerja pada 25 April 2019, Majlis Jemaah Menteri telah meluluskan penubuhan Jawatankuasa Penasihat Pembangunan Bandar Malaysia bawah Kementerian Kewangan untuk merunding semula terma-terma baharu yang lebih baik bagi memastikan projek ini benar-benar manfaatkan negara dan rakyat Malaysia.

Katanya, hasil rundingan semula perjanjian Bandar Malaysia lebih bermanfaat kepada kerajaan dan rakyat khususnya tambahan 5,000 unit rumah mampu milik kepada 10,000 unit dan tambahan kawasan taman hijau daripada 48.6 ekar (19.44 hektar) kepada 85 ekar (34 hektar).

"Hanya selepas perubahan kerajaan pada pilihanraya umum 2018, barulah projek Bandar Malaysia ini dapat dibebaskan daripada unsur-unsur skandal 1MDB dan menghasilkan projek Bandar Malaysia yang baru dengan manfaat tambahan sebanyak RM4 bilion," katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hadir menyaksikan majlis memeterai perjanjian antara anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan (Diperbadankan), TRX City Sdn Bhd (TRXC) dengan konsortium IWH CREC Sdn Bhd (IWH-CREC) bagi membangunkan Bandar Malaysia.

Dalam ucapan pada majlis sama, Dr Mahathir berkata, pelan pembangunan semula projek itu akan memastikan ia akan menjadi lebih inklusif dan selaras dengan pertumbuhan sosio-ekonomi Malaysia.

Menurutnya, pelan pembangunan semula Bandar Malaysia mengambil kira dasar kerajaan untuk memastikan projek berskala besar berteraskan kepada rakyat di samping memberi nilai tambah kepada ekonomi negara seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.