DAP penentu keputusan: Tun M hanya bergurau

Chean Chung dan Wan Fauzuldin
Chean Chung dan Wan Fauzuldin
A
A
A

KUANTAN - Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengakui DAP berperanan menentukan semua perkara dalam pentadbiran termasuk kedudukanya sebagai perdana menteri disifatkan sekadar gurauan.

Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung berkata, ini kerana semua parti terlibat dalam pentadbiran dan termasuk kedudukan Dr Mahathir sebagai pemimpin nombor satu negara.

Menurutnya, perkara terbabit ditentukan oleh Struktur Majlis Presiden PH yang mana Ketua Umumnya adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir adalah pengerusi PH.

“Dalam hal ini, setiap keputusan dibuat adalah mengikut undi dalam parti sekutu PH. PKR undi satu, diikuti DAP (1 undi), begitu juga Amanah dan Bersatu masing-masing memberikan satu undi.

“Ini bermaksud setiap parti dalam gabungan blok PH adalah setaraf. Jadi dalam hal ini, saya anggap beliau (Dr Mahathir) bergurau,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Dr Mahathir mendakwa DAP memainkan peranan menentukan segala perkara dalam pentadbiran kerajaan termasuk berkaitan kedudukannya sebagai perdana menteri.

Katanya, memang pada awalnya dalam politik, DAP adalah sebuah parti seteru, namun keadaan telah berubah menjadikan parti tersebut sebagai rakan sekutu kepada Bersatu di bawah satu pakatan, PH.

“Saya tahu ada pendapat mengatakan DAP parti musuh, tapi saya nak beritahu, yang tentukan saya akan jadi pengerusi PH dan bakal PM (perdana menteri) jika menang dalam PRU lalu adalah DAP.

Artikel Berkaitan:

“Mereka (DAP) tentukan siapa pemimpin dan siapa akan pegang jawatan selepas berjaya ambil alih kerajaan, semuanya ini datang dari DAP. Jadi, kalau orang kata (DAP) musuh, kenapa pilih saya.

“Mereka juga sedar, kerosakan yang dilakukan pemimpin kerajaan terdahulu perlu disingkirkan dan sebab itulah kita menang dalam PRU14,” katanya.

Menyentuh perkara itu, Chean Chung yang merupakan Adun Semambu berkata, perkara yang menentukan kuasa adalah perjanjian dan menifesto dalam PH.

Jelasnya, Dr Mahathir diangkat sebagai perdana menteri ke-7 seperti yang dijanjikan.

“Pelantikan itu dipersetujui semua parti dan jawatan perdana menteri paling berkuasa dan menjaga pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sementara itu,Naib Ketua PKR Cabang Paya Besar, Wan Fauzuldin Wan Samad berkata, Dr Mahathir mustahil boleh menyandang jawatan nombor satu negara dengan hanya sokongan DAP sahaja.

“Entah bagaimana matematik yang digunakan sebagai formula. PH boleh menjadi kerajaan dan Dr Mahathir diangkat sebagai PM adalah kerana sokongan PKR, Amanah, Bersatu, DAP serta termasuk parti Warisan di Sabah.

“Kekuatan kami bertambah apabila beberapa Ahli Parlimen dari Umno turut menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir dan PH,” katanya.