Sindiket curi kenderaan mewah tumpas

Shafa’aton menunjukkan kereta jenis Porsche Panamera yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh hari ini.
Shafa’aton menunjukkan kereta jenis Porsche Panamera yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Empat individu termasuk seorang wanita ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan curi kenderaan mewah di Sungai Buloh.

Suspek masing-masing bekerja sebagai penarik kereta, pekerja kilang dan mekanik serta seorang penganggur dipercayai aktif melakukan kegiatan itu sejak Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, suspek berusia antara 25 hingga 43 tahun ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar Kuala Lumpur pada 4 dan 5 Disember lalu.

Menurutnya, dalam serbuan berkenaan polis turut merampas tujuh kenderaan mewah pelbagai jenis termasuk Porsche Panamera yang dilaporkan hilang dan sebuah trak tunda yang kesemuanya dianggarkan bernilai lebih RM1 juta.

"Serbuan dibuat susulan laporan daripada seorang pemilik bengkel pada 1 Disember lalu.

“Pemilik bengkel berusia 35 tahun itu memaklumkan sebuah kereta Porsche Panamera milik pelanggannya seorang warga Singapura yang diparkir dalam kawasan rumahnya di Taman Subang Murni, Shah Alam didapati hilang.

“Melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pos pengawal mendapati kereta berkenaan ditunda oleh sebuah trak," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh hari ini.

Shafa’aton berkata, pengawal keselamatan di rumah itu memberitahu beberapa individu memperkenalkan diri sebagai penarik kereta dan memaklumkan kenderaan berkenaan mempunyai 33 bulan tunggakan bayaran.

Artikel Berkaitan:

Katanya, maklumat daripada jiran adik pengadu, suspek bertindak mencabut pagar rumah pemilik bengkel sebelum menunda kereta berkenaan.

“Suspek kini direman sehingga hari ini (18 Disember) tetapi akan disambung untuk siasatan lanjut.

“Kami juga sedang mengesan dua beradik yang dipercayai terbabit dengan sindiket ini iaitu L Nantha Kumar, 25, dan L Prem Kumar, 29," katanya.

Beliau berkata, modus operandi kumpulan itu ialah menipu pemilik kenderaan yang mempunyai tunggakan bayaran selain menceroboh kawasan rumah untuk menunda kereta.

“Kereta yang ditarik sepatutnya dihantar kepada pihak bank namun sindiket itu menyimpan kenderaan berkenaan dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Kenderaan terbabit kemudian dipercayai dijual di laman web jual beli dalam talian pada harga antara RM30,000 hingga RM50,000 mengikut model,” katanya.

Shafa’aton berkata, hasil semakan mendapati seorang daripada empat suspek yang ditahan mempunyai tujuh rekod jenayah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379/447 Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan serta menceroboh.