Minyak sawit: PM hantar surat bantahan ke Perancis, Norway

Teresa Kok Suh Sim - Foto Bernama
Teresa Kok Suh Sim - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menulis surat kepada presiden Perancis dan perdana menteri Norway untuk membantah keputusan Parlimen Kesatuan Eropah (EU) yang melarang penggunaan minyak sawit, kata Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim.

“Kami sedang mengusahakannya sekarang," katanya kepada pemberita pada Reach and Remind, Friends of the Industry Seminar 2019 and Dialogue di sini hari ini.

Beliau berkata, sebaik surat itu siap, kementerian akan menghantar salinan kepada media Malaysia.

Teresa berkata, sebagai negara pengeluar minyak sawit, Malaysia tidak akan bertolak ansur dengan keputusan yang dibuat oleh negara-negara ini dan tindakan perlu diambil atau ia akan memberi kesan kepada hubungan perdagangan dua hala antara Malaysia dan EU.

“Satu demi satu, Parlimen EU telah meluluskan resolusi atau peraturan seperti ini," katanya.

Terdahulu, dilaporkan kerajaan Norway telah menjadi negara EU ketiga untuk meluluskan resolusi melarang penggunaan minyak sawit, selepas Switzerland dan Perancis.

Dewan Negara Perancis telah mengundi untuk menamatkan insentif cukai bagi biodiesel berasaskan minyak sawit menjelang 2020.

EU merupakan pasaran import ketiga terbesar bagi minyak sawit Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu, kami melihat ini sebagai perkara yang serius dan memandangkan kita adalah pengerusi Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC), kami akan menggunakan platform itu untuk bekerjasama dengan Indonesia, pengeluar minyak sawit terbesar di dunia, untuk membantah larangan itu.

“Kami berharap EU boleh mempertimbangkannya berikutan minyak sawit adalah produk eksport utama kelima kami,” kata Kok, sambil menambah beliau akan ke Indonesia bulan depan.

Sebagai langkah tambahan untuk menangani isu ini, menteri itu berkata kementeriannya akan mempengerusikan mesyuarat zon perang minyak sawit melibatkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Luar serta Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim untuk membincangkan bagaimana kerajaan akan menangani larangan itu.

Sementara itu, Kok berkongsi berita positif mengenai harga minyak sawit mentah (MSM) yang mula meningkat daripada RM1,700 satu tan (disebabkan pengeluaran tinggi) dalam tempoh tiga bulan lepas kepada lebih RM2,000 satu tan.

“Anda dapat melihat terdapat peningkatan secara berperingkat bagi harga MSM dan kami berharap melalui lebih banyak urusan perdagangan dengan negara-negara pengimport, selain kempen dan usaha promosi, harga dapat ditingkatkan kepada RM2,700 satu tan atau lebih pada tahun ini,” katanya.

Kok berkata minyak sawit dan produk berasaskan sawit menjana RM62.7 bilion dari Januari-November 2018 berbanding RM71.4 bilion dicatatkan dalam tempoh sama pada 2017.

“Bagaimanapun secara perbandingan, jumlah eksport bagi minyak sawit dan produk berasaskan sawit naik 3.7 peratus kepada 23.2 juta tan dalam tempoh Januari-November tahun lepas,” katanya. - Bernama