Penduduk risau risiko penyakit berjangkit

Mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK Batu Kapor. Gambar kecil: Shahrudin
Mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK Batu Kapor. Gambar kecil: Shahrudin
A
A
A

TEMERLOH - Biarpun sudah lali berdepan bencana banjir sejak sekian lama namun penduduk di Kampung Batu Kapor di sini berharap banjir yang melanda kali ini segera pulih.

Bagi mangsa terlibat, banjir melanda pastinya mengundang kesulitan buat mereka selain terpaksa meninggalkan rumah masing-masing demi keselamatan.

Salah seorang mangsa, Shahrudin Mohd Shafie, 47, berkata, dia bersama isteri dan tiga anaknya mula berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Kapor sejak jam 9 malam tadi.

Dia yang bekerja sendiri berharap banjir yang melanda kampung itu tidak mengambil masa lama untuk surut.

"Risau bila memikirkan risiko jangkitan penyakit yang mudah berlaku ketika banjir. Jadi saya memang berharap air cepat surut," katanya.

Bagi suri rumah, Mazni Mohd Yunus, 45, dia bimbang memikirkan semua barang dalam rumahnya telah ditenggelami air.

"Air mula naik sejak Asar semalam. Memang nampak air laju dan cepat naik dan sejak subuh tadi rumah sudah dinaiki hingga paras paha.

"Semua barang dah tenggelam, jadi saya dan keluarga segera berpindah hari ini demi keselamatan.

Artikel Berkaitan:

"Cepatlah surut risau bila fikir risiko jangkitan penyakit dan janganlah ada benda-benda sebegini kali ini," katanya.

Dia turut berharap ada aktiviti dilaksanakan untuk kanak-kanak di PSS agar mereka tidak merayau ketika banjir.

Keadaan di PPS SK Batu Kapor.
Keadaan di PPS SK Batu Kapor.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Batu Kapor,Mat Rasul Yurit berkata, setakat jam 11 pagi tadi jumlah mangsa yang terlibat seramai 118 orang membabitkan 42 buah keluarga ditempatkan di PPS terbabit.

Beliau yang turut melahirkan kebimbangan sekiranya gelombang kedua banjir melanda turut berharap pihak atau agensi lain dan swasta membantu mangsa- mangsa terlibat.

"Terima kasih kepada semua pihak yang telah menghulurkan bantuan," katanya.

Seramai 36 lelaki, 44 wanita, 13 kanak-kanak lelaki dan 17 kanak-kanak perempuan serta tujuh bayi perempuan dan seorang bayi lelaki dan jalan yang ditutup melibatkan Jalan Kampung Sungai Buloh-Batu Kapor.