X

Kindly register in order to view this article
!

Edar dadah: Pekerja kedai kopi terlepas hukuman gantung

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

GEORGETOWN - Seorang pekerja kedai kopi menarik nafas lega selepas Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskannya daripada dua tuduhan mengedar dadah empat tahun lalu.

Hakim Datuk Azmi Abdullah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Lim Kok Pin, 49, di akhir kes pendakwaan.

Azmi dalam keputusannya berkata, tertuduh ketika ditahan polis berada di tempat dan masa berlainan, tidak berada berdekatan serta tiada kawalan ke atas dadah berkenaan.

"Tertuduh semasa dibawa polis ke rumah di mana tempat dadah itu ditemui di Solok Tembaga juga tidak mempunyai akses kerana tidak ada kunci rumah untuk memasuki rumah tersebut," katanya.

Menurutnya, barang-barang peribadi tertuduh pertama (Kok Pin) tidak ada di dalam rumah tersebut dan tidak terdapat DNA tertuduh.

Azmi berkata, pihak pendakwaan juga gagal memanggil penyewa sebenar rumah berkenaan untuk memberi keterangan dan berdasarkan keterangan daripada saksi ketiga pendakwaan iaitu tuan rumah tersebut menyatakan dia tidak mengenali tertuduh.

Mengikut pertuduhan pertama Kok Pin bersama seorang lagi yang telah meninggal dunia didakwa mengedar dadah heroin dan monoacetylmorphines seberat 2,267 gram di alamat rumah di No 1-27-B, Solok Tembaga, Taman Tembaga di sini pada jam 4.20 petang pada 5 Februari 2015.

Bagi pertuduhan kedua Kok Pin bersama seorang lagi yang telah meninggal dunia didakwa mengedar dadah methamphetamine seberat 1,485.3 gram pada masa, tarikh dan tempat sama.

Kok Pin yang juga bekerja sebagai tukang cuci itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan dikenakan 15 kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh kedua dalam kes tersebut iaitu Teoh Ewe Chooi meninggal dunia semasa dalam tahanan reman di Penjara Pulau Pinang akibat kanser paru-paru dan tidak sempat menghadiri perbicaraan kes itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Shafiq Mohd Sazali manakala tertuduh diwakili peguam, Hussaini Abdul Rashid. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!