'Saya rasa macam nak mati...'

Darina ketika diselamatkan oleh anggota bomba di Kampung Mentelong hari ini.
 - Foto Bernama
Darina ketika diselamatkan oleh anggota bomba di Kampung Mentelong hari ini.
 - Foto Bernama
A
A
A

ROMPIN - Seorang pesakit asma yang sedang mengandung enam bulan melalui detik mendebarkan apabila terpaksa menunggu lima hari sebelum dapat menerima rawatan.

Darina Mahadi, 35, yang juga orang asli dari suku kaum Jakun, tidak dapat dirawat kerana terperangkap di rumahnya di Kampung Mentelong di sini, yang terputus hubungan akibat jalan keluar dari kampung itu ditenggelami air.

Darina dibawa keluar dari kawasan berkenaan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan bot melalui Sungai Endau dan Sungai Mentelong, dalam operasi menyelamat yang turut disertai pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Tanjung Gemok dan penduduk tempatan.

"Jantung saya lemah membuatkan saya rasa seperti hendak mati apabila asma menyerang, lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca sejuk akibat hujan yang berterusan dan ubat pula sudah kehabisan.

"Kalau diikutkan, saya sudah mahu keluar dari kampung untuk berjumpa doktor pada Jumaat lalu kerana bimbang kesihatan diri dan anak dalam kandungan tetapi saya tangguhkan kerana hujan lebat dan akhirnya banjir sehingga jalan ditenggelami air," katanya kepada pemberita di sini hari ini sebelum dibawa ke Hospital Rompin untuk menerima rawatan.

Beliau berkata, keadaannya sangat teruk dengan hanya mampu berbaring dalam keadaan nafas yang sesak, sebelum pasukan penyelamat tiba, membuatkan ahli keluarganya terutama suaminya risau.

Darina dibawa keluar dari kawasan berkenaan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan bot melalui Sungai Endau dan Sungai Mentelong.
 - Foto Bernama
Darina dibawa keluar dari kawasan berkenaan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan bot melalui Sungai Endau dan Sungai Mentelong.
 - Foto Bernama

"Apabila doktor sampai, beliau juga terkejut melihat keadaan saya dan terus beri alat sedut kepada saya tanpa bertanya banyak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Suami Darina, Din Mohidin, 56, berkata, dia berterima kasih kepada pasukan penyelamat kerana tidak dapat membayangkan nasib yang akan menimpa keluarganya jika isterinya tidak dibawa keluar dari kampung itu.

"Saya amat bimbangkan keadaan isteri saya kerana dia sedang mengandungkan anak sulung kami selepas sembilan tahun kami berkahwin. Ini juga kali pertama isteri saya memberanikan diri keluar kampung melalui laluan sungai kerana tiada pilihan lain untuk keluar mendapatkan rawatan.

"Sepanjang isteri mengandung, dia tiada masalah untuk keluar dari kampung bagi membuat pemeriksaan kandungannya tetapi banjir ini menyukarkan rutin kami untuk keluar dan masuk dari kampung ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah JBPM Pahang Nor Hisham Mohammad berkata, operasi berkenaan dijalankan oleh dua anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rompin menggunakan sebuah bot aluminium.

"Untuk sampai ke kampung berkenaan, pasukan penyelamat menaiki bot selama 45 minit melawan arus deras Sungai Endau sebelum dapat masuk ke Sungai Mentelong yang airnya sudah naik sehingga paras bumbung jeti," katanya. - Bernama