X

Kindly register in order to view this article
!

JKM cari ibu bapa Iskandar, Nur Aleesya, Aashalata

Iskandar, Nur Aleesya, Aashalata
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meminta kerjasama orang ramai membantu mengesan ibu bapa kandung seorang bayi lelaki berusia empat bulan.

JKM dalam kenyataannya memberitahu, kanak-kanak itu dikenali Iskandar Dzulkarnaen dilaporkan ditinggalkan ibu bapanya di Unit Rawatan Rapi Bayi (NICU) Hospital Selayang selepas dilahirkan pada 16 Ogos lalu.

Menurut kenyataan itu, ibu kandung bayi itu dipercayai warga Indonesia dan bapa kandungnya warga Myanmar.

"Pihak kami telah menjalankan siasatan untuk mengesan ibu kandung kanak-kanak tersebut di sebuah rumah di Taman Wilayah, Batu Caves.

"Bagaimanapun ibu bapa kandung tidak dapat ditemui dan kami bertanya kepada penghuni seperti alamat tersebut tetapi tidak mendapat sebarang kerjasama untuk membantu mengesan ibu bapa kandung bayi berkenaan," katanya.

Kenyataan itu memaklumkan, kes kanak-kanak itu dibawa ke Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Kuala Lumpur untuk perintah perlindungan sementara di bawah Subseksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001 pada 27 September lalu.

"Sehubungan itu, JKM mengalu-alukan waris atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat ibu bapa kandung untuk menghubungi Pelindung kes ini, iaitu Mohd Sabry Ahmad, di talian 03-2612 4000," katanya.

Dalam kenyataan sama, JKM meminta bantuan orang ramai mengesan ibu seorang kanak-kanak perempuan, Nur Aleesya Diana, yang berusia tujuh tahun yang dilahirkan di Pusat Pakar Wanita Ang Wangsa Maju.

JKM dalam kenyataannya menjelaskan, ibu kandung kanak-kanak itu dikenali 'Rosika' menyerahkan Nur Aleesya kepada keluarga angkat selepas dilahirkan tanpa sebarang dokumen pengenalan dan penyerahan yang sah pada 26 Mei 2012.

"Mengikut penjaga, kanak-kanak ini diserahkan kepadanya kerana ibu kandung tidak mampu untuk menjaganya.

Sehubungan itu, JKM mengalu-alukan waris atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat ibu kandung untuk menghubungi Pelindung kes, Hazzariza Napiah ditalian 03-2612 4000 (sambungan 4121)," katanya.

Dalam kenyataan sama, JKM turut memohon bantuan orang ramai mengesan waris seorang lagi kanak-kanak, Aashalata berusia tujuh tahun yang diserahkan kepada keluarga angkat.

JKM memaklumkan kanak-kanak itu diserahkan ibu kandungnya seorang warga Indonesia yang dikenali dengan panggilan nama Nina F Traje tanpa sebarang dokumen pengenalan dan penyerahan yang sah.

"Kanak-kanak ini dilahirkan di rumah yang beralamat di Seri Kembangan Selangor dan ibu kandung tidak mampu untuk menjaganya," katanya.

Sehubungan itu JKM meminta waris atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat ibu kandung untuk menghubungi Pelindung kes, Hazzariza seperti talian sama.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!