Permohonan masukkan nama Najib, tujuh lagi dalam saman PI Bala

Datuk Seri Najib Tun Razak - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 29 Mac untuk mendengar permohonan ahli perniagaan, J. Deepak bagi memasukkan nama bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan tujuh yang lain sebagai pihak ketiga dalam kes saman difailkan keluarga penyiasat persendirian, mendiang P. Balasubramaniam.

Peguam K. Vinod, yang mewakili Deepak berkata, anak guamnya selaku defendan dalam kes saman itu telah menyerahkan notis pihak ketiga kepada kesemua individu berkenaan tahun lepas untuk memasukkan semula mereka sebagai pihak ketiga dalam kes saman tersebut.

Selain Najib, tujuh individu lain adalah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, adik Najib iaitu Datuk Mohd Nazim dan Datuk Ahmad Johari, peguam Tan Sri Cecil Abraham, Sunil Abraham dan Arulampalam Mariampillai serta Pesuruhjaya Sumpah, Zainal Abidin Muhayat.

Vinod berkata, kesemua individu itu, yang sebelum ini dinamakan sebagai defendan dalam kes saman itu kecuali anak guamnya telah memfailkan permohonan untuk membatalkan saman dikemukakan balu Balasubramaniam, A. Santamil Selvi dan tiga anaknya.

"Bagaimanapun, pada Julai tahun lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan lapan defendan itu untuk membatalkan saman tersebut. Jadi, mereka bukan lagi pihak defendan dalam kes saman ini.

"Sekarang, kita bawa masuk semula kesemua individu itu untuk berkongsi liabiliti, kerugian atau beban kewangan (yang berbangkit dalam kes saman itu)," katanya kepada pemberita selepas hadir pada pengurusan kes saman di dalam kamar Hakim Datuk Azimah Omar.

Pada 23 Julai 2017, Santamil Selvi bersama tiga anaknya – B. Kishen, B. Menaga dan B. Reeshi selaku plaintif memfailkan saman bagi pihak mendiang dengan menamakan kesemua individu sama sebagai defendan.

P.I. Bala merupakan saksi utama dalam perbicaraan kes pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006. P.I. Bala meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Mac 2013, beberapa minggu setelah pulang dari India.

Dalam penyataan tuntutan, Santamil Selvi dan anaknya mendakwa mereka terpaksa hidup dalam buangan di India selama 56 bulan mulai 4 Julai 2008 selepas pendedahan Balasubramaniam dalam akuan bersumpah keduanya dalam kes pembunuhan Altantuya.

Plaintif memohon ganti rugi berjumlah RM840,000 termasuk kos menyewa sebuah apartmen di Chennai, India, yuran sekolah dan kehilangan pendapatan sebagai guru tadika, pinjaman perumahan, kos pengangkutan, ganti rugi am, ganti rugi khas dan kos.

Pada 30 Januari tahun lepas, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan lapan defendan itu untuk membatalkan saman berkenaan.

Bagaimanapun, defendan berjaya dalam rayuan mereka selepas Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu. - Bernama