Syed Saddiq sakit ketika Sidang Kemuncak Belia KL berlangsung

Syed Saddiq sempat menghadiri pelancaran pembukaan Sidang Kemuncak Belia Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
Syed Saddiq sempat menghadiri pelancaran pembukaan Sidang Kemuncak Belia Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terpaksa mendapatkan rawatan perubatan semasa Sidang Kemuncak Belia Kuala Lumpur 2019 berlangsung hari ini.

Beliau dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas mengadu sakit di bahagian perut susulan pembedahan apendiks yang dijalaninya pada 11 Disember lalu.

Terdahulu beliau melancarkan Sidang Kemuncak Beliau Kuala Lumpur 2019 yang menjadi permulaan kepada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (Sidang Kemuncak KL) 2019 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dijadualkan bermula esok sehingga Sabtu.

Syed Saddiq tidak menghadiri persidangan meja bulat Pemimpin-pemimpin Muda Kerajaan yang dijadualkan dirasmikannya selain turut tidak dapat menghadiri sesi makan tengah hari bersama peserta.

Difahamkan masalah kesihatan itu tidak terlalu membimbangkan dan beliau akan menghadiri majlis makan malam Pemimpin-pemimpin Muda Kerajaan di Atmosphere360 Revolving Restaurant, Menara KL, selepas melawat menara berkenaan petang tadi.

Esok Menteri Belia dan Sukan itu akan membuat pembentangan mengenai Projek Khas Kepimpinan pada sebelah pagi.

Pada 11 Disember lalu, Kementerian Belia dan Sukan dalam satu kenyataan berkata, pembedahan Syed Saddiq berjaya dan keadaannya stabil. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Syed Saddiq selamat jalani pembedahan, perlu ruang untuk berehat

Artikel Berkaitan: