Bomba tempuh misi sukar bawa keluar 3 ibu hamil di Mersing

Anggota Unit Udara JBPM, Safuan Mohamad (kanan) melalui misi sukar apabila terpaksa melakukan penerbangan ihsan dalam keadaan cuaca yang tidak mengizinkan bagi membawa keluar tiga ibu mengandung orang asli di Kampung Peta dekat Endau. - Foto Bernama
Anggota Unit Udara JBPM, Safuan Mohamad (kanan) melalui misi sukar apabila terpaksa melakukan penerbangan ihsan dalam keadaan cuaca yang tidak mengizinkan bagi membawa keluar tiga ibu mengandung orang asli di Kampung Peta dekat Endau. - Foto Bernama
A
A
A

MERSING - Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melalui misi sukar apabila terpaksa melakukan penerbangan ihsan dalam keadaan cuaca yang tidak mengizinkan sebagai usaha membawa keluar tiga ibu mengandung di Kampung Peta, dekat Endau, yang terkandas akibat banjir dan memerlukan rawatan segera hari ini.

Penerbangan ihsan itu menggunakan sebuah helikopter AW189 milik JBPM itu diketuai oleh dua juruterbang, dua kuartermaster udara dan empat orang Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB).

Operasi khas terbabit disertai Pengarah JBPM, Johor Datuk Yahaya Madis yang berlepas dari Lapangan Terbang Senai pada jam 9 pagi tadi dan mendarat di kem askar di sini, setengah jam kemudian.

Yahaya berkata, sebaik meneruskan perjalanan ke kawasan kampung terbabit, helikopter terpaksa berpatah balik ke kem berkenaan berikutan hujan lebat dan kabus tebal.

“Walaupun cuaca tidak mengizinkan pada peringkat awal, kita akhirnya berjaya apabila operasi dimulakan semula tapi pada jam 3 petang selepas dapati cuaca mengizinkan untuk kita terbang dan ambil pesakit untuk dibawa ke hospital.

“Namun ada lagi pesakit yang tidak dapat dibawa keluar kerana keadaan cuaca semakin tidak mengizinkan. kita akan usaha untuk bantu mereka melalui operasi esok,” katanya selepas penerbangan ihsan di sini hari ini.

Menurutnya, tiga ibu mengandung yang juga etnik Orang Asli Jakun itu dikenali sebagai Roslina Ayong, 35; Ho Siew Ng, 39; dan Norafizah Azmi, 20-an.

"Operasi ini adalah penerbangan ihsan yang pertama dilakukan di Johor selepas banjir berlaku pada tahun ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Yahaya berkata, pihaknya turut menghantar bekalan makanan untuk kegunaan penduduk di kampung berkenaan menerusi bot bomba.

“Lebih 700 kilogram makanan dihantar ke sana menerusi bot. Kita bersama pegawai daerah juga akan mengenal pasti jumlah sebenar penduduk yang terperangkap.

"Difahamkan pada peringkat awal terdapat 300 mangsa di kampung berkenaan dan sekiranya bekalan makanan tidak mencukupi, kita akan menghantar bekalan lain pada operasi seterusnya," katanya.

Menurutnya, penduduk di kampung berkenaan difahamkan telah terputus hubungan melalui jalan darat sejak Sabtu lepas berikutan banjir di daerah itu. - Bernama