Tunang Adib reda, yakin perancangan ALLAH lebih baik

Paparan Facebook Nurul Najihah tular di laman sosial.
Paparan Facebook Nurul Najihah tular di laman sosial.
A
A
A

SHAH ALAM - Hari ini genap setahun pemergian hero Malaysia, anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang masih diratapi oleh seluruh rakyat negara ini.

Tidak terkecuali tunangnya, Nurul Najihah Radzi, menerusi hantaran dalam laman sosial Facebook miliknya.

Gadis berusia 25 tahun itu dalam hantarannya menyatakan reda di atas pemergian Allahyarham Muhammad Adib kerana perancangan ALLAH itu lebih baik dan meluahkan, ALLAH SWT menjanjikan sesuatu lebih baik untuknya.

"Apabila ALLAH membuat kamu menunggu, jangan sekali-kali berfikir bahawa Dia tidak mencintaimu. Apabila Dia mengambil apa yang kamu cintai, janganlah menganggap Dia menghukum kamu. Dia mempunyai sesuatu yang lebih baik untuk kamu. Percaya kepada kebijaksanaan-Nya," tulisnya.

Dia juga mencoret tarikh keramat pemergian Allahyarham Muhammad Adib iaitu pada 17 Disember 2018 hingga 17 Disember 2019 hari ini.

Bukan itu sahaja, Nurul juga memuat naik video dan foto Allahyarham Muhammad Adib berdurasi 4 minit 32 saat bagi mengubat kerinduan.

Sebahagian besar pengguna Facebook daripada pelbagai bangsa turut melahirkan rasa simpati kepada Nurul dan ahli keluarga Allahyarham Muhammad Adib.

Nurul Najihah dan Muhammad Adib dikatakan sepatutnya menamatkan zaman bujang mereka pada 22 Disember tahun lalu namun tidak kesampaian selepas Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhirnya di Institut Jantung Negara.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Setahun pemergian Adib: Famili harap kebenaran terus dicari

Pada 27 September lalu, Mahkamah Koroner memutuskan punca kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di hadapan kuil Sri Maha Mariammam, USJ 25, Subang Jaya.