Masih ramai peniaga ingkar di Terengganu

Dr Mohd (tengah) menampal papan tanda larangan merokok yang mengikut standard peraturan di sebuah premis makan di bandar raya ini, hari ini.
Dr Mohd (tengah) menampal papan tanda larangan merokok yang mengikut standard peraturan di sebuah premis makan di bandar raya ini, hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Hampir separuh, iaitu 48.2 peratus premis makanan di Terengganu gagal mempamerkan tanda larangan merokok di premis masing-masing, setelah seminggu penguatkuasaan tempat makan sebagai tempat larangan merokok.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohd Jusoh berkata, dalam tempoh itu sebanyak 2,838 buah premis makanan telah diperiksa dan hanya 1,470 buah premis yang mematuhi arahan.

Manakala selebihnya iaitu 1,368 premis masih gagal mempamerkan label larangan merokok dan kesemuanya telah diberikan notis amaran.

“Daerah Kuala Terengganu mencatatkan pengeluaran notis kepada pemunya premis tertinggi, iaitu sebanyak 269 kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok di dalam premis, diikuti oleh Hulu Terengganu sebanyak 254, Besut (203), Kemaman (201), Kuala Nerus (182), Setiu (104), Dungun (89) dan Marang (66).

“Kita mohon kerjasama mereka supaya mempamerkan tanda larangan merokok bagi menyampaikan mesej kepada orang ramai supaya tidak merokok di premis berkenaan.

“Pemilik premis makanan juga mempunyai tanggungjawab memasang tanda larangan merokok mengikut spesifikasi yang betul dan meletakkan di tempat yang mudah dilihat oleh pengunjung, seterusnya memastikan tiada orang yang merokok di dalam premis mereka,” katanya.

Dr Mohd mengedarkan risalah larangan merokok di premis makan kepada dua remaja di sebuah medan selera di bandar raya ini.
Dr Mohd mengedarkan risalah larangan merokok di premis makan kepada dua remaja di sebuah medan selera di bandar raya ini.

Beliau berkata demikian selepas mengikuti program penguatkuasaan pendidikan tempat makanan sebagai kawasan larangan merokok di sebuah medan selera di bandar raya ini, hari ini.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Dr Mohd berkata, seramai 283 pegawai penguat kuasa di seluruh Terengganu mula membuat pemantauan bagi memastikan pematuhan terhadap larangan merokok di tempat makan, melibatkan 6,239 premis makanan termasuk restoran, gerai makan dan penjaja sejak 1 Januari lalu.

Katanya, dalam tempoh seminggu selepas tarikh kuat kuasa pewartaan, seramai 88 individu masih merokok di premis makanan.

“Daerah Besut mencatatkan pengeluaran notis tertinggi kepada perokok iaitu sebanyak 63, diikuti Dungun (10), Kuala Terengganu (6), Kemaman (5) dan Setiu (4). Tiada yang merokok dijumpai dalam tempat makan bagi daerah Kuala Nerus, Hulu Terengganu dan Marang semasa pemantauan dilakukan.

“Dalam pemantauan yang dibuat, didapati tiada pengendali makanan dan pengusaha kedai makan yang merokok. Keadaan ini memberi imej yang baik terhadap pematuhan peraturan ini,” katanya.

Jelas beliau, sepanjang pemantauan dibuat, pihaknya mendapat kerjasama baik daripada pengusaha premis makanan dan tiada aduan berkaitan bantahan atau halangan sepanjang penguatkuasaan pendidikan dilakukan.