Letusan White Island: Kesemua mangsa dikenal pasti

Arden memaklumkan siasatan insiden mungkin mengambil masa setahun. - Foto AFP
Arden memaklumkan siasatan insiden mungkin mengambil masa setahun. - Foto AFP
A
A
A

WELLINGTON - Pasukan polis New Zealand hari ini memaklumkan kesemua mangsa letusan gunung berapi White Island telah dikenal pasti.

Letusan pada 9 Disember lalu meragut 18 nyawa sementara 17 lain masih menerima rawatan intensif berikutan luka melecur yang teruk.

Susulan pemeriksaan forensik, mangsa terbaharu yang disahkan maut adalah dua warga Australia, Richard Aaron Elzer, 32, dan Julie Richards, 47, serta seorang warga Amerika Syarikat (AS) dengan status penduduk Australia, Barbara Jean Hollander berusia 49 tahun.

Polis turut menamakan dua mayat mangsa yang belum ditemui, mereka ialah Winona Jane Langford, 17, dari Australia dan warga New Zealand berusia 40 tahun, Hayden Bryan Marshall-Inman.

"Proses pengecaman mangsa bencana kini selesai," kata polis dalam satu kenyataan.

Pasukan mencari masih berharap untuk menemui mayat Langford dan Marshall-Inman yang dipercayai berada di perairan White Island, namun polis berkata cuaca buruk hari ini menyukarkan usaha mencari.

Difahamkan, sebuah helikopter polis yang pergi ke pulau itu awal pagi tadi terpaksa berpatah balik.

Kesemua mangsa maut dan hilang telah dikenal pasti dan dinamakan kepada awam, kecuali seorang mangsa yang meninggal dunia di sebuah hospital di Sydney, keluarganya dilaporkan meminta agar butiran diri mangsa tidak didedahkan.

Artikel Berkaitan:

Sekurang-kurangnya 12 daripada 18 mangsa yang maut merupakan warga Australia sementara tiga yang lain warga AS yang menetap di Australia.

Laporan media berkata, mangsa yang meninggal dunia di Sydney itu merupakan warga Australia dan pihak berkuasa memaklumkan mangsa yang dihantar ke Australia untuk rawatan adalah sama ada warganegara atau penduduk tetap.

Seramai 47 pengunjung berada di pulau yang turut dikenali sebagai Whakaari itu ketika insiden berlaku, pengunjung dilaporkan berasal dari Australia, AS, Britain, China, Jerman, Malaysia dan New Zealand.

Pihak berkuasa kini menjalankan siasatan mengapa pengendali lawatan dibenar membawa pengunjung ke lokasi itu beberapa hari selepas para saintis meningkatkan tahap amaran, sementara itu Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern memaklumkan siasatan mungkin mengambil masa setahun. - AFP