X

Kindly register in order to view this article
!

Tangani bersama rasuah penjawat awam: SPRM

Shamsun Baharin (tiga dari kanan) menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelan Anti Rasuah MPT 2020-2024 di Wisma Perbandaran Taiping di sini hari ini.
A
A

TAIPING - Isu rasuah dalam kalangan penjawat awam perlu ditangani secara bersama melalui Pelan Anti Rasuah Kebangsaan (NACP).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil berkata, gejala rasuah dalam kalangan penjawat awam memang berlaku dan berdasarkan statistik tahun 2014 hingga November 2019, seramai 2,428 penjawat awam ditahan kerana rasuah serta penyalahgunaan kuasa daripada 5,186 yang ditahan.

Menurutnya, melihat kepada jumlah tersebut, ia perlu ditangani dengan segera bagi memastikan usaha kerajaan membanteras rasuah berjaya.

"Kita jangan cuba wujudkan budaya penafian bahawa isu rasuah dalam kalangan penjawat awam memang berlaku. Kalau kita tengok statistik, daripada 5,186 orang yang ditangkap 46.8 peratus atau 2,428 adalah penjawat awam. Memang banyak dan itu yang perlu ditangani secara bersama.

"Sebab itu kerajaan melancarkan Pelan Anti Rasuah Kebangsaan untuk menangani isu-isu rasuah dalam kalangan penjawat awam," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelan Anti Rasuah Majlis Perbandaran Taiping (MPT) 2020-2024 di Wisma Perbandaran Taiping di sini hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua MPT, Borhan Abdul Halim; Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama, Mohamed Akmal Dahalan; Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner, Osman Mamat dan Penolong Pesuruhjaya SPRM Perak, Fatimah Hamid.

Sementara itu, Shamsun Baharin berkata, semua sektor perlu terlibat dalam usaha membanteras rasuah bukan hanya di sektor pihak berkuasa tempatan (PBT) sahaja tetapi diperluaskan kepada kementerian dan agensi lain kerana kebarangkalian berlakunya rasuah dan penyalahgunaan kuasa itu ada.

Borhan (kiri) menyerahkan buku Pelan Anti Rasuah MPT 2020-2024 kepada Shamsun Baharin pada Majlis Pelancaran Pelan Anti Rasuah MPT 2020-2024 di Wisma Perbandaran Taiping di sini hari ini.
Borhan (kiri) menyerahkan buku Pelan Anti Rasuah MPT 2020-2024 kepada Shamsun Baharin pada Majlis Pelancaran Pelan Anti Rasuah MPT 2020-2024 di Wisma Perbandaran Taiping di sini hari ini.

Katanya, SPRM sedia membantu mana-mana agensi untuk memperkasakan integriti di dalam organisasi mereka.

Beliau berkata, pihaknya turut memberikan penghargaan atas komitmen MPT yang menjadi PBT pertama daripada 149 PBT di negara ini melaksanakan Pelan Anti Rasuah sendiri walaupun semua agensi diberikan masa selama lima tahun untuk melaksanakannya.

Dalam pada itu, Borhan yang ditemui berkata, pelan yang dilancarkan itu akan memberikan fokus kepada empat bidang yang dikenalpasti sebagai mempunyai kecenderungan kepada rasuah iaitu penguatkuasaan undang-undang, perolehan awam, tadbir urus terbaik organisasi dan perundangan.

Menurutnya, tumpuan yang diberikan kepada empat bidang tersebut bagi memastikan langkah pencegahan rasuah dibuat di peringkat akar umbi.

"Pelan Anti Rasuah MPT 2020-2024 ini disediakan dan memperlihatkan komitmen seluruh warga kerja MPT di dalam memerangi rasuah.

"Pelan ini juga merupakan satu peringatan dan amaran kepada semua bahawa MPT tidak menerima amalan rasuah kerana ia satu amalan keji serta menjijikkan," katanya.

Beliau berharap dalam tempoh lima tahun akan datang, pelan tersebut berupaya mengekang budaya rasuah di dalam MPT.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus