Tujuh NGO buat laporan polis terhadap Eric Liew

Laporan polis dibuat di IPD Dang Wangi
Laporan polis dibuat di IPD Dang Wangi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak tujuh laporan polis dibuat hari ini berhubung kenyataan berbaur penghinaan ke atas bekas Yang di-Pertuan Agong, Sultan di Muhammad V oleh Eric Liew di Facebooknya.

Tujuh laporan polis itu dibuat oleh Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amanah Rahsia Cekal (ARC), Gerak Kerja Gabungan Ayahanda Selangor (Gegas), Pertubuhan Kipidap, Selempang Merah dan KMN

Presiden IRIMM, Amir Amsa Alla Pitcay berkata, kenyataan di Facebook itu tidak sepatutnya keluar dari rakyat Malaysia kerana nyata ia satu penghinaan kepada institusi Raja dan menyinggung perasaan kita semua.

Menurutnya, walaupun individu itu telah meminta maaf di Facebooknya beberapa jam selepas mengeluarkan kenyataan menghina itu, tindakan undang-undang masih perlu dikenakan ke atasnya.

"Kita tidak mahu ia menjadi satu budaya, sesuka hati mengeluarkan kenyataan menghina kemudian meminta maaf.

"Meminta maaf itu baik, namun dikhuatiri perbuatan itu menular menjadi kebiasaan (keluar kenyataan menghina dan minta maaf) perkara ini boleh menghancurkan keharmonian negara ini dan wajar pihak berluasa mengambil tindakan ke atas individu seperti ini," katanya kepada Sinar Harian.

Laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi hari ini.

Amir Amsa berkata, pihaknya berharap agar polis dan pihak berkuasa lain menggunakan semua seksyen dan akta untuk menghukum individu tidak bermoral itu.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ini telah ada individu yang menghina Sultan dan dijatuhi hukuman, justeru kami berharap kes Eric Liew juga akan berakhir dengan dia dihadapkan ke muka pengadilan," katanya.

Dalam pada itu, Amir Amsa berkata, pihaknya juga memuji tindakan majikan tempat Eric Liew bekerja apabila memecat lelaki itu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Eric Liew mohon maaf hina Sultan Muhammad V]