'Projek rumah digital jangan pinggir rakyat biasa'

 Adly Zahari
Adly Zahari
A
A
A

MELAKA - Pemain industri perumahan diminta tidak menumpukan konsep rumah digital terhadap projek perumahan mewah semata-mata, sebaliknya turut mengembangkannya kepada projek rumah mampu milik.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, sebagai contoh, projek Rumah Digital Anjung Gapam dilancarkan bulan lepas hasil kerjasama TM One dan Bintang Urusjuta (M) Sdn Bhd, merupakan projek rumah digital pertama di negeri ini memberikan manfaat kepada rakyat pelbagai peringkat melalui teknologi digunakan.

Menurutnya, salah satu manfaat adalah menerusi penjimatan tenaga apabila guna tenaga di rumah digital itu diurus dengan efektif melalui aplikasi yang dibangunkan selain sambungan internet berkelajuan tinggi, memberi lebih banyak pembangunan di kawasan terlibat.

"Kalau kita lihat, program rumah digital ini boleh menyokong usaha Melaka Pintar sendiri kerana kita tahu banyak manfaat boleh kita dapati menerusi penggunaan teknologi.

“Konsep rumah digital sekiranya dikembangkan kepada rumah mampu milik merupakan sesuatu yang baik, mungkin kita perlukan pelaburan awal tetapi untuk jangka masa panjang ia memberi manfaat kepada rakyat,” katanya kepada Bernama.

Projek Rumah Digital Anjung Gapam yang terletak di Jasin, dekat sini selain membangunkan lebih 2,000 rumah jenis banglo, ia turut membangunkan 535 rumah mampu milik dengan kemudahan rumah digital.

Selain sambungan internet berkelajuan tinggi, rumah digital itu turut dilengkapi sambungan tersedia seperti penggera keselamatan di pintu masuk serta tingkap dan kamera litar tertutup untuk setiap lot kediaman.

Adly berkata, sebagai sebuah negeri maju ke arah berteknologi tinggi, kerajaan negeri sentiasa berusaha meningkatkan dan memperluas penggunaan jalur lebar dalam kalangan rakyat termasuk memberi penekanan kepada kualiti perkhidmatan terbaik.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sasaran kerajaan negeri ialah 95 peratus liputan jalur lebar di kawasan berpenduduk melalui penyediaan infrastruktur komunikasi selular dan talian tetap.

“Bagi mencapai sasaran tersebut, kerajaan negeri sedang mempergiat usaha menambah baik rangkaian komunikasi dan infrastruktur yang mantap dan mampan melalui penyediaan rangkaian gentian optik yang menyeluruh di seluruh negeri ini,” katanya. - Bernama