X

Kindly register in order to view this article
!

Sidang Kemuncak Kuala Lumpur cari jalan masalah dunia Islam

Pekerja kontraktor, Mohd Khamarul Tahli semalam melakukan persiapan menjelang Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 yang bermula esok. - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Penganjuran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 bermula esok merupakan satu platform perbincangan dalam mencari jalan penyelesaian baharu terhadap masalah menimpa dunia Islam sejajar usaha memperbaiki persepsi negatif seperti mana berlaku terhadap dunia Islam pada masa kini.

Sidang kemuncak yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sehingga Sabtu ini dijangka dihadiri kira-kira 400 orang termasuk 250 peserta dari 52 negara juga dilihat bertujuan untuk membentuk jaringan antara pemimpin Islam, cendekiawan, ulama dan pemikir di seluruh dunia serta menghidupkan semula tamadun Islam.

Malah, kehadiran beberapa pemimpin negara Islam seperti Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan; Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani; Presiden Iran, Hassan Rouhani dan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan dijangka merancakkan lagi perbincangan sidang itu sekali gus berupaya mencari titik penyelesaian masalah yang menimpa negara-negara Islam.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, penganjuran sidang itu tepat pada masanya dengan mengumpulkan pemimpin utama dunia Islam dan tokoh pelbagai latar belakang dalam mencari keputusan deklarasi dan kemudian diterjemahkan di dalam bentuk tindakan realiti.

Menurutnya, umat Islam masing-masing mengakui mereka bersaudara namun berlaku beberapa negara Islam berhadapan situasi perang saudara dan akhirnya meminta bantuan daripada bukan beragama Islam untuk berperang sesama sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Persiapan Sidang Kemuncak KL 2019 berjalan lancar

"Malah sejak sekian lama, kita sering kali dikaitkan dengan tadbir urus yang teruk, gejala rasuah dan menjadi pusat melahirkan keganasan. Kita sering marah dengan label-label itu terutamanya tohmahan pengganas oleh propaganda anti-Islam. Sememangnya kita akui ia benar berlaku, tetapi akibat kelemahan dan perpecahan sendiri, kita telah membenarkan dakwaan propaganda ini," katanya dalam mesej alu-aluan di dalam laman Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019.

Dr Mahathir selaku Pengerusi Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 menjelaskan, Sidang Kemuncak Kuala Lumpur akan berpandukan pemahaman kontemporari yang komprehensif sejajar pencapaian nilai tertinggi Islam dan kedaulatan ummah.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual berangkat merasmikan sidang kemuncak berkenaan.

Sebanyak tujuh tonggak yang menjadi objektif penganjuran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 iaitu integriti dan tadbir urus terbaik, keamanan, keselamatan dan pertahanan, keadilan dan kebebasan, pembangunan dan kedaulatan, perdagangan dan pelaburan dan budaya dan identiti.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!