Haji dan kemampuan

Menjadi impian semua umat Islam untuk dijemput menjadi tetamu ALLAH di Tanah Suci. Gambar kecil: Zulkifli
Menjadi impian semua umat Islam untuk dijemput menjadi tetamu ALLAH di Tanah Suci. Gambar kecil: Zulkifli
A
A
A

KONSEP istito’ah atau kemampuan dalam melaksanakan ibadah haji amat penting untuk difahami dan diselesaikan terlebih dahulu oleh bakal jemaah haji yang ingin menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, aspek kemampuan mengerjakan haji meliputi beberapa perkara iaitu kemampuan dari segi kewangan, bekalan, perjalanan dan keselamatan.

Menurutnya, istito’ah dari segi bekalan bermaksud seseorang itu perlu mempunyai bekalan mencukupi untuk pergi menunaikan haji di Makkah sehingga kembali semula ke tanah air selain menyediakan bekalan untuk ahli keluarga di bawah tanggungannya yang ditinggalkan.

“Istito’ah kenderaan pula bermaksud adanya kenderaan selesa yang boleh membawa jemaah haji itu ke Makkah seperti kapal terbang.

“Pada masa sama, perjalanan menuju ke Makkah juga perlu aman dan tiada perkara seperti rusuhan atau pergaduhan yang boleh membawa kepada peperangan,” katanya dalam satu wawancara di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, konsep istito’ah turut diperluaskan merangkumi aspek kesihatan, keselamatan, visa haji dan mahram.

Zulkifli berkata, hasil dapatan kajian yang dibentangkan dalam muzakarah haji oleh pihaknya membahagikan istito’ah kesihatan kepada dua iaitu kesihatan yang kronik dan kesihatan tidak kronik.

Menurutnya, bagi yang mempunyai masalah kesihatan kronik dan perlu membelanjakan sejumlah wang yang besar jika mengerjakan haji, mereka tidak termasuk dalam kategori istito’ah dan boleh dibadalkan haji kerana ketidakmampuan atau kesukaran untuk menyempurnakan ibadah tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, bagi sakit yang tidak kronik seperti asma, kencing manis, darah tinggi, gout dan sebagainya yang boleh dibantu melalui penggunaan ubat-ubatan atau bantuan pegawai kesihatan Lembaga Tabung Haji (TH), istito’ah atau kemampuan kesihatan adalah dibolehkan.

“Para jemaah juga dinasihatkan supaya mengambil inisiatif dengan memperuntukkan kewangan secukupnya untuk ubat-ubatan selama tempoh mengerjakan haji kerana bimbang jika kehabisan ubat sewaktu menunaikan haji sehingga perlu membeli di farmasi.

“Perkara ini perlu diambil kira kerana kita tidak boleh menjangkakan keadaan kesihatan sewaktu berada di sana. Mungkin kita jangka okey tetapi tiba-tiba terjadi sebaliknya,” kata beliau.

Pelbagai aspek perlu dititikberatkan jemaah sebelum menunaikan haji, antaranya kemampuan kewangan dan kesihatan.
Pelbagai aspek perlu dititikberatkan jemaah sebelum menunaikan haji, antaranya kemampuan kewangan dan kesihatan.

Zulkifli menambah, keselamatan dalam melaksanakan ibadah haji juga termasuk dalam istito’ah dan pertamanya, aspek itu perlu dilihat kepada diri dan keluarga.

“Jika berlaku sebarang bentuk pengancaman sehingga tidak boleh menunaikan ibadah haji kerana wujudnya suasana tidak aman dalam perjalanan pergi dan pulang, berlaku wabak besar sehingga membawa kebinasaan atau berlaku peperangan sewaktu menuju ke sana maka ibadah haji itu tidak dianggap sebagai istito’ah.

“Selain itu, isu keselamatan ini juga perlu dilihat dalam konteks lebih luas kerana apabila berlaku pergolakan atau musibah di satu-satu tempat yang memberi risiko kepada jemaah haji, aspek keselamatan perlu diambil kira.

“Ini kerana ibadah haji perlu dibuat dalam keadaan yang tenang dan sempurna bagi melayakkan seseorang itu mendapat haji yang mabrur,” katanya.

Perlu tunggu sehingga giliran tiba

Zulkifli berkata, kuota atau kebenaran mengerjakan haji yang dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi juga termasuk dalam konsep istito’ah bagi menghormati polisi sesebuah negara serta asas yang dipegang dan dilaksanakan mereka.

Menurutnya, walaupun seseorang itu sihat tubuh badan, mempunyai wang mencukupi, lebih atau memenuhi semua syarat tetapi kerana kuota belum termasuk dalam giliran, maka mereka tidak boleh dianggap istito’ah dan perlu menunggu sehingga giliran tiba.

“Perlu difahami bahawa bukan kita sahaja (jemaah Malaysia) tetapi umat Islam dari seluruh pelosok dunia mahu melaksanakan haji termasuk dari negara minoriti seperti Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Jerman dan Jepun.

“Itu belum termasuk lagi negara yang mempunyai penduduk Islam yang ramai seperti Indonesia, Turki, Mesir dan juga Malaysia. Jadi kita perlu raikan dan patuhi isu mengenai kuota atau kebenaran haji yang juga dipanggil tashrih,” katanya dalam satu wawancara.

Dalam pada itu, Zulkifli turut menegaskan mengenai keperluan mahram dalam menunaikan ibadah haji di mana berdasarkan Mazhab Syafie, aspek mahram itu dilebarkan berhubung kebolehan wanita untuk ke Makkah apabila wujudnya nisak thiqah.

Menurutnya, jika seseorang wanita itu tiada mahram atau suami, maka mereka dibolehkan untuk pergi bersama dua perempuan yang thiqah iaitu dipercayai amanah dan taat.

“Inisiatif yang dilaksanakan TH itu jelas apabila adanya pihak tertentu yang sama-sama membantu sebagai satu keluarga besar yang bernaung di bawah TH bagi melaksanakan ibadah haji.

“Mahram itu penting bahkan wajib tetapi bentuknya yang pertama adalah mahram seperti adik-beradik, bapa begitu juga suaminya. Jika tidak ada, wanita thiqah sebagaimana dinaskan dalam Mazhab Syafie,” katanya.

No Image Caption
Play Icon