Bersatu tingkat kempen PRK Cameron Highlands

Wan Mohd Shaharir Wan Abdul Jalil
A
A

KUANTAN - Parti Bersatu nekad untuk menjalankan kempen dengan lebih berkesan pada PRK Cameron Highlands bagi memastikan kerusi Parlimen itu menjadi milik PH.

Pengerusinya, Wan Mohd Shaharir Wan Abdul Jalil berkata, rakan sekutu dalam PH akan bergerak bersama dalam kempen PRK itu selepas hari penamaan calon selesai.

“Segala gerak kerja berkempen akan dilakukan secara bersama dengan PKR, Amanah dan DAP, bukan mewakili satu-satu parti sahaja.

“Saya, percaya kesepakatan dalam berkempen mampu memastikan semua jentera dapat menjalankan kempen dengan lebih berkesan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kerusi Parlimen itu dimenangi BN menerusi calonnya, Datuk C Sivarrajh pada PRU14, namun diisytiharkan kosong oleh Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu.

Sivarajjh memenangi kerusi Parlimen berkenaan yang membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 19 Disember lalu menetapkan PRK Cameron Highlands pada 26 Januari, dengan tarikh penamaan calon pada 12 Januari, manakala tarikh mengundi awal pula ditetapkan pada 22 Januari ini.

Menurutnya, dalam usaha memastikan kempen pilihan raya bergerak lancar, pihaknya telah memilih setiausaha parti itu, Mohd Yazid Mohd Yunus dipilih mengetuai jentera PH bagi Dun Jelai.

“Semua penyelarasan dan judual program bagi kempen PRK Cameron Highlands di Dun Jelai akan diputuskan beliau (Mohd Yazid) selepas mengadakan mesyuarat bersama pimpinan parti komponen PH negeri, minggu depan.

"Malah, semua Ketua Bahagian Bersatu di negeri sudah dimaklumkan untuk memberikan bantuan dan terbabit secara langsung dalam kempen untuk PRK kali ini,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Mohd Shaharir memberitahu, pemilihan Mohd Yazid dibuat selepas mengambil kira sumbangan beliau sepanjang kempen PRU lalu.

Jelasnya, pihak parti yakin dengan pengalaman yang ada pada Mohd Yazid, ia dapat membantu memperkemaskan persiapan jentera kempen PH.

“Jadi sebab itu parti diberikan tanggungjawab menjaga kawasan Dun Jelai yang juga kawasan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

"Saya percaya pimpinan daripada parti komponen PH Pahang akan membantu dan memberi kerjasama kepada beliau,” katanya.