37 syarikat belum lunas hutang penajaan Istana Budaya sejak 2010

A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 37 syarikat yang bertindak sebagai penaja persembahan di Istana Budaya belum melangsaikan hutang tertunggak bernilai kira-kira RM3 juta sejak tahun 2010.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, sehubungan itu Istana Budaya perlu mengambil tindakan tegas dalam memilih kriteria penajaan persembahan untuk tahun ini.

"Tidak seperti sebelum ini, kali ini, Istana Budaya tidak akan terus beri ruang dan peluang kepada mana-mana penaja, sebaliknya mereka perlu menepati beberapa kriteria yang ditetapkan selain melihat kepada keupayaan bajet mereka.

"Kita (Istana Budaya) tidak mahu kejadian penaja menarik diri di saat-saat akhir berulang kembali seperti tahun lalu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Istana Budaya 2019, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani dan Ketua Setiausaha kementerian berkenaan Datuk Rashidi Hasbullah.

Bagaimanapun, Mohamaddin berkata, kementeriannya sentiasa menyeru pihak swasta atau syarikat korporat yang mampu memberi penajaan memainkan peranan lebih aktif bagi membantu produksi yang bakal membuat persembahan di Istana Budaya.

Menurutnya, pelepasan cukai sehingga RM700,000 akan diberi berdasarkan sub seksyen 34 (6) (k) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP1967) yang memperuntukkan penajaan aktiviti kesenian, kebudayaan dan warisan tempatan dan asing yang akan diadakan di dalam negara.

"Penaja amat dialu-alukan berkolaborasi dalam mana-mana aspek persembahan supaya pembangunan aktiviti seni dan budaya tanah air akan terus berkembang rancak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, sebanyak 20 persembahan dipilih untuk pengisian slot tahun 2019 di Istana Budaya antaranya program antarabangsa seperti teater muzikal 'Phantom of the Opera', tarian balet 'Fairy Doll' dan 'Swan Lake' serta persembahan tarian kontemporari 'Formosa' dari Taiwan.

Antara persembahan tempatan yang bakal dibawakan ialah 'Teater OlaBola The Musical Season 2', 'Teater Tun Fatimah', 'Teater Tradisional Makyong Raja Besar Maha Gading', 'Konsert Diraja Raja dan Rakyat Berpisah Tiada','Konsert Retro', 'Soul Sisters Concerts 2019', Ella Unplugged in KUALA LUMPUR dan persembahan tarian 'Inspitari JKKN' (Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara). - Bernama