Suri rumah didakwa tipu sewa beli rumah PR1MA

Mazni dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas dakwaan menipu sewa beli rumah PR1MA hari ini.
Mazni dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas dakwaan menipu sewa beli rumah PR1MA hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menipu urusan sewa beli rumah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) membabitkan kerugian sebanyak RM6,308.

Tertuduh, Mazni Mahmud, 27, mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Wong Chai Sia.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menipu seorang pemuda bagi projek rumah PR1MA iaitu bagi mendorong mangsa memindahkan wang sebanyak RM6,308 ke akaun Maybank miliknya.

Percaya dengan dakwaan tertuduh, mangsa berusia 24 tahun itu membuat transaksi RM6,308 sebagai deposit rumah berkenaan di Setapak Jaya pada 16 Ogos 2017.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh menggunakan dokumen tawaran unit rumah PR1MA daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dipercayai dokumen palsu.

Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Setapak Jaya pada 30 Oktober 2018 lalu.

Ibu dua anak ini didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 468 Kanun sama yang memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun suri rumah yang tidak diwakili peguam itu tidak membuat rayuan kerana tiada penjamin.

Mahkamah menetapkan 16 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.