Lelaki maut kereta bertembung dengan van

Keadaan kenderaan yang bertembung dalam kejadian tersebut. - Foto Ihsan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor
Keadaan kenderaan yang bertembung dalam kejadian tersebut. - Foto Ihsan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor
A
A
A

SEPANG - Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya bertembung sebuah van dalam kemalangan di Kilometer (KM) 44.2 Jalan Dengkil-Cyberjaya, pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, berdasarkan siasatan awal, pemandu kereta terbabit dipercayai hilang kawalan secara tiba-tiba sebelum memasuki laluan bertentangan.

Berikutan itu Azman berkata, kereta dipandu mangsa berusia 37 tahun itu telah bertembung dengan sebuah van yang datang dari arah bertentangan.

"Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azman berkata, pemandu van bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala dan sedang menerima rawatan kecemasan di Hospital Putrajaya.

"Siasatan lanjut berhubung kejadian ini masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: