Rumah terbengkalai: Anggota, pesara tentera tagih pembelaan

Nordin Hamat, 49, kecewa dan sedih melihat keadaan rumah yang sepatutnya sudah boleh diduduki mereka.
Nordin Hamat, 49, kecewa dan sedih melihat keadaan rumah yang sepatutnya sudah boleh diduduki mereka.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Pemotongan bayaran bulanan rumah oleh seramai 56 anggota dan pesara tentera umpama ‘sedekah’ apabila mahligai idaman yang dibeli mereka di Taman SL ATM, Mukim Apam dekat sini terbengkalai.

Projek yang dimulakan pada tahun 2006 itu dijangka siap sepenuhnya pada 2008 namun sebaliknya berlaku apabila pemaju gagal memenuhi perjanjian sebagaimana yang telah dimeterai.

Lebih menyedihkan lagi sebahagian daripada pembeli rumah tersebut sudah bersara dalam perkhidmatan tentera.

Wakil pembeli, Mohd Redhuan Ibrahim, 33, berkata, lebih menyedihkan lagi mereka terpaksa membuat bayaran bulanan walaupun projek perumahan itu sudah terbengkalai hampir 11 tahun.

"Tidak cukup dengan itu, kami terpaksa menyewa rumah lain untuk meneruskan kehidupan.

"Bayangkan kami terpaksa membelanjakan RM500 hingga RM800 sebulan untuk membuat bayaran pinjaman perumahan dan menyewa rumah lain.

"Tipulah tidak sedih, rumah ini adalah 'syurga' terbaik buat kami dalam meneruskan kehidupan pada masa depan bersama keluarga," katanya.

Menurutnya, kesemua pembeli merasa tertipu apabila mereka difahamkan 95 peratus bayaran sudah dibuat kepada pihak kontraktor sedangkan projek tersebut baharu 60 peratus siap dan selebihnya terbengkalai.

Artikel Berkaitan:

Pembeli menunjukkan keadaan rumah mereka yang kini terbengkalai dan dipenuhi semak samun.
Pembeli menunjukkan keadaan rumah mereka yang kini terbengkalai dan dipenuhi semak samun.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kawasan perumahan yang terdiri dari rumah teres dan banglo itu sudah dipenuhi dengan semak samun dan dijadikan kandang lembu oleh pihak tidak bertanggungjawab selain lokasi menghisap dadah.

Tidak cukup dengan itu, bingkai tingkap, pintu dan bumbung yang sebelum ini tersergam indah telah dicuri oleh ‘tangan-tangan nakal’.

Sementara itu, Hamzani Mohamad, 49, berkata, dia berharap pihak berkenaan khususnya Kementerian Pertahanan Malaysia serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dapat membantu menyelesaikan masalah ini.

Katanya, kebanyakan pembeli rumah ini merupakan bekas tentera yang pernah mengerahkan keringat mempertahankan tanah air.

"Ada juga dalam kalangan kami masih menabur bakti sebagai anggota tentera," katanya.