Suasana pilu menyelubungi pengebumian bekas Adun Gunung Semanggol

Abdul Latif (baju putih) tidak dapat menahan sebak ketika membacakan talkin untuk Mohd Zawawi.
Abdul Latif (baju putih) tidak dapat menahan sebak ketika membacakan talkin untuk Mohd Zawawi.
A
A
A

BAGAN SERAI - Suasana pilu menyelubungi pengebumian jenazah bekas Adun Gunung Semanggol, Mohd Zawawi Abu Hassan di Tanah Perkuburan Islam Tebuk Panchor, di sini hari ini.

Bacaan talkin oleh Abdul Latif Abu Hassan, 40, iaitu adik Allahyarham menyentuh perasaan orang ramai yang hadir memberikan penghormatan terakhir di tanah perkuburan tersebut.

Ketika talkin dibacakan, Abdul Latif beberapa kali menangis bersama ahli keluarga yang lain.

Terdahulu, jenazah disembahyangkan di Masjid Jamek Tebuk Panchor, di sini selepas solat Zohor.

Solat jenazah diimamkan sendiri Abdul Latif bersama hampir 1,000 jemaah.

Difahamkan beberapa pemimpin politik di negeri ini turut hadir memberikan penghormatan terakhir antaranya Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin; Adun Selinsing, Mohamad Noor Dawoo; Ketua Pemuda Pas Perak, Mohd Akmal Kamaruddin; Timbalan Ketua Pemuda Pas Perak, Mohd Hafez Sabri dan beberapa pemimpin lain.

Kira-kira jam 6.00 pagi tadi, Mohd Zawawi menghembuskan nafas terakhir di Hospital Taiping selepas mengalami tekanan darah tinggi.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Maizul Rosmawati Meor Ibrahim, 41, bersama tiga anak berusia 16, lapan dan dua tahun.

Artikel Berkaitan: