Bukan semua nelayan dapat bantuan sara hidup: LKIM

Muhammad Faiz (tengah) ketika berucap pada sidang media berkenaan.
Muhammad Faiz (tengah) ketika berucap pada sidang media berkenaan.
A
A
A

PASIR GUDANG - Nelayan yang mempunyai rekod Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) aktif akan dikeluarkan daripada senarai penerima bantuan sara hidup bagi golongan itu.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil Noor berkata, ia adalah antara kriteria digunakan dalam proses pemutihan bagi mengenalpasti hanya nelayan yang betul-betul layak dapat menerima bantuan.

"Ada nelayan yang kita dapati ada rekod KWSP, kalau kita dapat rekod itu memang kita akan terus potong nama mereka (dalam senarai penerima bantuan).

"Bila nelayan ada rekod KWSP ini, ia bermaksud mereka ini bekerja seperti biasa dan tidak mungkin mereka boleh turun ke laut untuk tempoh 120 hari. Itu contoh bagaimana pemutihan dibuat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Pengerusi LKIM dengan Pimpinan Nelayan Johor di Bilik Mesyuarat Josfa, di sini, hari ini.

Muhammad Faiz berkata, bagaimanapun, setelah pemutihan dilakukan, mana-mana nelayan yang diketepikan daripada senarai penerima masih boleh membuat rayuan.

"Perkara ini akan dikaji semula dan disiasat oleh LKIM jika rayuan mereka bermerit, maksud mereka ini memang nelayan dalam erti kata di bawah undang-undang mereka perlu turun ke laut 120 hari setahun.

"Perkara itu boleh disahkan dengan bukti yang ada contohnya gambar atau pemeriksaan di bawah LKIM. Kita akan masukkan semula nama mereka sebagai penerima," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sehingga kini hasil daripada proses pemutihan yang dilakukan, jumlah penerima bantuan sara hidup bagi para nelayan juga telah dikurangkan.

"Jumlah sekarang ini daripada seramai 57,000, sudah dikurangkan kepada 40,000. Ini kepada mereka yang benar-benar layak, jika ditolak, masih boleh membuat rayuan," katanya.

Dalam perkembangan sama, pihaknya juga akan berusaha membuka ruang buat para nelayan meluaskan sumber pendapatan mereka dengan menceburi kegiatan laut dalam.

Ia bagi membolehkan golongan itu memperoleh sumber pendapatan lebih besar selain menarik lebih ramai generasi muda menyertainya.

"Kita mempunyai perancangan untuk adakan latihan berhubung perkara ini. Selain itu, kita juga akan meminta pihak berkuasa untuk menguatkan kawalan berkenaan aktiviti pencerobohan.

"Pencerobohan ini bukan hanya melibatkan nelayan asing sahaja, tetapi kita tidak mahu ada nelayan laut dalam (Zon C2) masuk ke perairan cetek (Zon A dan Zon B). Ia juga mengganggu sumber rezeki mereka yang berkenaan," ujarnya.