Media Prima jamin pampasan secara adil, ikut undang-undang

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Media Prima Berhad (Media Prima) akan memastikan pampasan terhadap pekerjanya yang terlibat dalam pemberhentian dilakukan secara adil dan saksama seperti tertakluk di bawah akta kerja, perjanjian bersama kesatuan masing-masing dan kontrak pekerjaan.

Syarikat itu dalam kenyataan memaklumkan pembayaran pampasan terhadap pekerja syarikat Media Prima termasuk The New Straits Times Press Malaysia (NSTP) dibuat secara penuh selepas proses dalaman dan kawal selia selesai.

Menurutnya, notifikasi rasmi sudah diberikan kepada semua kakitangan yang terlibat pada hari ini.

"Syarikat juga akan menyediakan khidmat sokongan kepada kakitangan termasuk perkhidmatan penempatan keluar dan kaunseling kerjaya," kata kenyataan itu hari ini.

Menurut Media Prima, struktur operasi baharu serta senarai nama kakitangan terlibat ditentukan selepas beberapa sesi perundingan dengan Kesatuan Sekerja Kakitangan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (KSKSTMB) dan Kesatuan Eksekutif Sistem Televisyen Malaysia Berhad (KESTMB).

Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) Cawangan NSTP dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Akhbar (NUNW) Cawangan NSTP turut terlibat dalam perundingan itu.

Media Prima juga memaklumkan pihaknya akan memulakan pelaksanaan pelan rasionalisasi tenaga kerja yang merupakan sebahagian daripada fasa transformasi perniagaan seterusnya seperti yang diumumkan pada 1 November lalu.

"Fasa seterusnya adalah pelaksanaan transformasi perniagaan Media Prima termasuklah penukaran model perniagaan dan penstrukturan dalaman bagi membolehkan syarikat lebih berdaya saing dan mampan di masa hadapan, berikutan suasana makro ekonomi yang tidak menentu dan gangguan perubahan landskap media global dan domestik," katanya.

Terdahulu Pengerusi NUJ NSTP, Farah Marshita Abdul Patah dalam kenyataan memaklumkan, seramai 543 pekerja syarikat NSTP terdiri daripada wartawan dan jurugambar akhbar Berita Harian, Harian Metro dan New Straits Times (NST) terlibat dalam pemberhentian membabitkan tempoh akhir pada 12 Mac 2020.

Artikel Berkaitan:

Jumlah tersebut juga membabitkan ahli NUJ iaitu 193 orang sekali gus menjadikan hanya 143 ahli yang kekal daripada jumlah keseluruhan ahli iaitu seramai 336 orang.

ARTIKEL BERKAITAN: 543 kakitangan NSTP terima surat pemberhentian hari ini