Kerajaan Selangor tubuh Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Orang Asal

Amirudin (dua dari kanan) membuat gimik pelancaran Majlis Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Selangor.
Amirudin (dua dari kanan) membuat gimik pelancaran Majlis Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menubuhkan Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Orang Asal bagi memberi fokus kepada aspek kebajikan dan program-program pembangunan buat golongan berkenaan di negeri ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penubuhan jawatankuasa tersebut diluluskan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor yang bermesyuarat pada minggu lalu.

Beliau berkata, melalui pelaksanaan itu, Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna, Sains Teknologi dan Inovasi Selangor, Hee Loy Sian telah dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa berkenaan yang akan mula bermesyuarat pada tahun hadapan.

"Tahun depan, jawatankuasa ini akan memberi fokus kepada orang asal di negeri ini melibatkan pelbagai aspek antaranya kebajikan dan program pembangunan yang disediakan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Selangor yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Di samping itu, Amirudin turut menggesa agar semua pihak berkaitan dapat memulakan usaha untuk membawa budaya dan warisan orang asal di negeri ini seperti Mah Meri untuk mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Beliau berkata, dengan pengiktirafan itu, warisan berkenaan akan dapat didaftarkan sebagai milik eksklusif negeri Selangor yang mempunyai hak cipta tersendiri.

"Dengan usaha ini, warisan itu tidak boleh digunakan dengan sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak terutama sekali syarikat-syarikat fesyen antarabangsa," katanya.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai pembinaan muzium baharu di negeri ini, Amirudin berkata, kerajaan negeri telah mencari lokasi dan menyediakan peruntukan untuk pelaksanaan itu yang dijangka siap pada tahun 2022 atau 2023 nanti.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, sebelum ini, pihaknya bercadang untuk melaksanakan pembinaan berkenaan di Klang, bagaimanapun tapak tersebut dilihat tidak bersesuaian dan perlu ditukar ke lokasi lain.

"Pembinaan itu belum bermula dan kini berada di proses akhir. Muzium itu juga akan dibina di sekitar kawasan Shah Alam dengan anggaran kos bernilai RM10 hingga RM15 juta," katanya.