Konvoi bermotor Jom Berzakat santuni asnaf

Abdul Halim (dua dari kiri) menyerahkan mesin memproses air tebu kepada Muhammad (kiri) di Kampung Telok Mas, Melaka.
Abdul Halim (dua dari kiri) menyerahkan mesin memproses air tebu kepada Muhammad (kiri) di Kampung Telok Mas, Melaka.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Hujan tidak menghalang kira-kira 60 motosikal pelbagai model termasuk berkuasa tinggi menjayakan konvoi bermotor Jom Berzakat yang bermula di pekarangan Masjid Al-Ehsan Bukit Baru di sini semalam.

Perasmian program anjuran Zakat Melaka dengan kerjasama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Bahagian Agihan Zakat itu disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Abdul Halim Ismail mewakili Timbalan Pengerusi Zakat Melaka, Datin Mahani Othman Basir.

Abdul Halim yang mengetuai konvoi itu berkata, program berkenaan antara medium pihaknya menyantuni golongan asnaf dalam radar penerima bantuan bulanan MAIM di samping menyampaikan bantuan makanan dan wang tunai.

Menurutnya, kakitangan agensi itu dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain seperti kelab-kelab motosikal bersama-sama membantu menyebarkan dakwah zakat untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai.

"Kita sedar hujung tahun ini ramai yang akan melaksanakan ibadah zakat dalam memenuhi haul ibadah itu.

"Kita ambil peluang untuk menyemarakkan dan menguar-uarkan supaya lebih ramai akan menunaikan tanggungjawab berzakat bagi mereka yang berkelayakan serta berkemampuan," katanya.

Sebahagian peserta konvoi berkumpul di pekarangan Masjid Al-Ehsan Bukit Baru sebelum program bermula.
Sebahagian peserta konvoi berkumpul di pekarangan Masjid Al-Ehsan Bukit Baru sebelum program bermula.

Katanya, program yang dapat mengeratkan silaturahim itu julung kali diadakan dan merupakan lanjutan daripada aktiviti konvoi berbasikal diadakan sebelum ini dengan objektif sama.

Artikel Berkaitan:

"Satu usaha kita mendekati keluarga asnaf yang terpilih dan ada di antara mereka yang kita berikan bantuan untuk lebih bersemangat meningkatkan taraf hidup keluarga," katanya.

Sementara itu, peserta konvoi, Fuad Roslan, 42, berkata, dengan menyertai program itu dia dapat melihat bagaimana Zakat Melaka membantu golongan kurang bernasib baik dan apa bantuan yang dapat disalurkan untuk membantu mereka.

Menurutnya, hujan tidak mematahkan semangat dan membuatkan dia lebih teruja untuk menyertai konvoi itu.

"Ini pertama kali saya menyertai program anjuran zakat dan kita nak lihat apa yang mereka lakukan dan kita sendiri dapat turun ke rumah golongan asnaf," katanya.

Abdul Halim menyempurnakan perlepasan peserta konvoi di pekarangan Masjid Al-Ehsan Bukit Baru semalam.
Abdul Halim menyempurnakan perlepasan peserta konvoi di pekarangan Masjid Al-Ehsan Bukit Baru semalam.

Penerima bantuan MAIM yang dikunjungi rombongan konvoi di Kampung Telok Mas, Muhammad Sulaiman, 53, pula berkata, dia bersyukur menerima sebuah mesin memproses air tebu daripada MAIM untuk dia berniaga air di Taman Seri Telok Mas yang terletak tidak jauh dari rumahnya.

Menurutnya, dia yang sekarang bekerja kampung dengan mendapat upah RM40 sehari pernah memohon bantuan itu sebelum ia direalisasikan oleh MAIM.

Katanya, sebelum ini dia pernah berniaga air tebu menggunakan mesin yang dipinjam dari individu lain namun ia kerap kali rosak dan tidak boleh digunakan lagi.

"Saya hanya mampu menjual tebu yang ditanam di sekeliling rumah pada harga 80 sen sebatang.

"Tapi risiko jual batang tebu kadang-kadang orang tak datang pun ambil sedangkan kita dah tebang tebu dan akhirnya saya yang rugi.

"Bila dah ada mesin ini, memang memudahkan. Saya boleh jual semula air tebu di kawasan taman berdekatan untuk tambah pendapatan keluarga," katanya.

Jelasnya, bantuan itu secara tidak langsung memotivasikan dirinya untuk lebih gigih menyara keluarga ditambah pula empat daripada enam anaknya yang berusia enam hingga 15 tahun masih bersekolah.

Katanya, dia berazam untuk keluar daripada senarai penerima bantuan asnaf.

Muhammad berkata, dia juga memerlukan motosikal roda tiga untuk memudahkannya membawa mesin air tebu ke tempat berniaga.

"Kalau tidak saya terpaksa memproses air tebu di rumah kerana tiada kenderaan lain dan motosikal yang ada masih dibaiki di bengkel.

"Harap bantuan itu dipermudahkan dan saya berterima kasih kepada pihak yang membantu meringankan beban kami sekeluarga termasuk MAIM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atas bantuan bulanan," katanya.

Konvoi bermotor Jom Berzakat yang bermula jam 8.30 pagi turut menziarahi sebuah keluarga asnaf di Kampung Berangan Enam dan Kampung Sempang di Daerah Jasin.

Peserta konvoi mengedarkan risalah Zakat Melaka sebelum program ditamatkan di Masjid Jamek Merlimau Utara.