TNB naik taraf 15 pencawang elak ditenggelami banjir

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 15 pencawang elektrik berisiko ditenggelami banjir akan dinaik taraf untuk kemudahan serta keselamatan orang ramai.

Ketua Perkhidmatan Pelanggan, Bahagian Retail Tenaga Nasional Berhad (TNB) Terengganu, Mohd Nazri Puteh berkata, ia melibatkan pencawang elektrik di bahagian utara Terengganu seperti di Setiu dan Besut yang akan dilaksanakan satu persatu.

"Selepas banjir besar pada 2014, TNB membelanjakan sebanyak RM200,000 untuk melaksanakan kerja-kerja menaik taraf 60 pencawang elektrik di daerah Besut dan Kemaman.

"Jadi, fasa kedua melibatkan 15 pencawang ini juga kita akan naik taraf untuk elak ditenggelami air, sekali gus menjejaskan bekalan kepada pengguna," katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra TNB dan Media Terengganu, di sini petang semalam.

Menurutnya, terdapat sebanyak 2,400 pencawang elektrik di seluruh negeri dan TNB Terengganu sentiasa menjalankan penelitian dari semasa ke semasa untuk melihat sekiranya terdapat keperluan untuk menaik taraf kemudahan tersebut di mana-mana lokasi.

"Kita sudah menjalankan persiapan dari segi tenaga kerja, kelengkapan dan peralatan bagi menghadapi banjir gelombang keempat yang diramal berlaku pada 25 hingga 26 Disember ini.

"Ketika banjir gelombang ketiga baru-baru ini, kita telah kerah 300 pekerja untuk bertugas secara syif selama 24 jam untuk menangani sekiranya berlaku sebarang masalah di stesen," katanya.

Mohd Nazri berkata, dua 20 set jana kuasa bergerak sudah disediakan untuk kegunaan orang kampung sekiranya berlaku kecemasan di kawasan terputus bekalan elektrik.

Artikel Berkaitan:

"Bot turut disediakan di beberapa stesen tertentu bagi memudahkan kerja-kerja membaiki kerosakan sekiranya jalan putus dan tidak boleh dilalui kenderaan," katanya. - Bernama