X

Kindly register in order to view this article
!

'Wanita hebat akademik tapi kurang cemerlang dalam pekerjaan'

Gambar kiri: Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia, Datuk Razali Idris, gambar kanan: Dr Syed Agil Syed Alsagoff.
A
A

SHAH ALAM - Kehebatan wanita paling terserlah dari segi pencapaian akademik apabila kadar kemasukan golongan itu ke universiti melebihi lelaki.

Data diperoleh daripada Kementerian Pengajian Tinggi menyatakan lebih 86,798 wanita berjaya mendapat tempat di menara gading dan jumlah itu meningkat daripada 67,734 orang pada 2009.

Bagaimanapun, kecemerlangan wanita tidak berterusan selepas bergelar graduan berikutan golongan lelaki lebih dominan dalam pasaran buruh dan memegang jawatan strategik selepas memasuki alam pekerjaan.

Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia, Datuk Razali Idris berkata, perkara itu tidak boleh dinafikan berdasarkan perkembangan sejarah ketamadunan dari dulu lagi apabila lelaki akan diberikan kuasa utama.

"Lelaki biasanya diberikan kuasa dalam menguruskan segala urusan masyarakat berbanding wanita," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas senario lelaki lebih ramai mendominasi pasaran kerja dan memegang jawatan tinggi berbanding wanita yang lebih cemerlang di peringkat universiti.

Razali juga bersetuju dengan sesetengah pendapat bahawa kebanyakan wanita lebih memberikan tumpuan kepada keluarga dan penjagaan anak-anak selepas berkahwin sekaligus tidak mengejar impian mereka.

"Bagaimanapun, isu ini harus ditangani dengan cermat terutama kepada yang masih berpegang dengan cara lama dan sukar untuk berubah kerana kerajaan Malaysia membuka ruang seluasnya kepada wanita.

"Contohnya, jawatan seperti menteri, timbalan menteri dan pegawai tinggi kerajaan ramai dari kalangan wanita dan peranan mereka terus diperkasakan.

"Selain itu, pakar sakit puan 39.3 peratus adalah wanita, psikiatri 52.3 peratus, doktor perubatan 48.5 peratus, peguam 52 peratus, akauntan 52 peratus dan doktor gigi 66.8 peratus," katanya.

Menurutnya, golongan lelaki tidak memilih pekerjaan menjadi faktor mereka mendominasi sektor pekerjaan.

"Sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk menanggung keseluruhan keluarga tidak kira apa bidang dari buruh kasar sehingga pembuat dasar, dengan kata lain lelaki tidak memilih kerja," katanya.

Katanya, faktor lain menyebabkan kecemerlangan wanita tidak berterusan selepas bergelar graduan adalah kerana masih berlaku diskriminasi terhadap kaum wanita.

"Seperti bayaran gaji berbeza dengan lelaki walaupun taraf pendidikan dan pengalaman sama. Isu-isu seperti gangguan seksual di tempat kerja, mudah diberhentikan atau dipecat serta sebab-sebab lain.

"Banyak perkara mempengaruhi dan perkara-perkara ini perlu dinoktahkan oleh kerajaan Malaysia Baharu," katanya.

Sementara itu, penganalisis komunikasi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Syed Alsagoff pula berkata, sebenarnya ada pertambahan dari segi wanita memegang jawatan tinggi dalam perkhidmatan awam.

Katanya, pertambahan penglibatan golongan wanita dalam sektor awam itu boleh dilihat berlaku sejak lima tahun lalu namun diakui dari segi peratusannya ia masih rendah dalam sektor swasta.

"Ini disebabkan beberapa faktor yang pertamanya apabila kaum lelaki tidak banyak berada di universiti menjadikan mereka lebih diterima dalam pasaran kerja berbanding wanita.

"Kaum wanita pula terpaksa bersaing antara satu sama lain misalnya jika ada 10 calon, tiga calonnya lelaki berbanding tujuh calon wanita. Tiga calon lelaki ini lebih cenderung menjadi pilihan," katanya.

Dr Syed berkata, kemahiran yang ada pada calon lelaki juga menguatkan peluang mereka untuk mendapatkan sesuatu pekerjaan selain mereka dapat menguruskan emosi lebih baik berbanding wanita.

Dalam pada itu, katanya, lelaki lebih ramai memegang jawatan penting apabila golongan itu dapat membuat keputusan lebih baik dan matang berbanding wanita berdasarkan kajian-kajian dibuat sebelum ini.

"Golongan lelaki juga dilihat menguasai bidang bidang teknikal, kejuruteraan kerana bidang bidang seperti ini tidak dapat dipenuhi oleh golongan wanita kerana unsur unsur fizikal dan sebagainya.

"Termasuk juga bidang politik di mana kita lihat golongan lelaki itu masih mendominasi bidang tersebut berbanding wanita," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus