X

Kindly register in order to view this article
!

Kabinet setuju penubuhan Majlis Media Malaysia

Eddin bersama pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan (JBPMNS) yang berjaya membawa pulang hadiah RM10,000.
A
A

KUALA PILAH - Kabinet baru-baru ini secara dasarnya telah bersetuju dengan penubuhan Majlis Media Malaysia bagi memastikan masa depan dan kebajikan pengamal media di negara ini lebih terjamin.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith berkata, persetujuan itu merupakan satu perkembangan positif terhadap pemain industri media.

"Penubuhan MMC ini bertepatan masanya bagi memastikan masa depan dan kebajikan pengamal media dalam negara lebih terjamin.

"Minggu depan mesyuarat kali pertama akan dijalankan dan ianya akan memberi tumpuan terhadap kerangka penubuhannya.

"Saya percaya dengan penubuhan MMC ini masalah berkaitan amalan media akan dapat diatasi," katanya dalam sidang akhbar selepas perasmian penutup Pesta Bola Ngoca 2019 di Empang Bangkung, Juasseh di sini hari ini.

Dalam perkembangan berlainan, Eddin yang merupakan Ahli Parlimen Kuala Pilah turut memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak mewujudkan suasana yang boleh menimbulkan kebimbangan dan kerisauan akibat berita tidak benar di media sosial berhubung masalah banjir.

"Perkara ini akan menyulitkan pihak bertanggungjawab untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap perkara tersebut.

"Mereka yang menyebarkan berita tidak benar akan diambil tindakan bersesuaian mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau pun Kanun Keseksaan," katanya.

Terdahulu, Eddin menyampaikan hadiah kepada pemenang dalam acara yang dipertandingkan dalam Pesta Bola Ngoca.

Dalam program itu, johan bagi pertandingan bola sepak sawah dimenangi oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan (JBPMNS) yang membawa pulang wang RM10,000.

Tempat kedua dimenangi Veteran DBKL dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000 manakala tempat ketiga disandang Baling FC yang memenangi wang tunai RM5,000.