Kalau bersih, kenapa tidak isytihar harta yang ada?

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SERAMAI 62 ahli Parlimen pembangkang termasuk Bebas sehingga hari ini masih tidak mengisytiharkan harta.

Kalau wakil rakyat itu masih keras kepala, mereka akan dikenakan tindakan termasuk digantung daripada menghadiri Dewan Rakyat atau didenda RM1,000 kerana menghina Dewan Rakyat.

Sebaliknya, 160 ahli Parlimen sudah membuat demikian iaitu semua wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) termasuk dua wakil rakyat UMNO, MCA (1), GPS (15), PSB (1), PBRS (1) dan PBS (1).

Agak menghairankan, walaupun mereka bergelar Yang Berhormat tetapi tidak mahu mengikut peraturan dan undang-undang. Tambahan lagi, kalau mereka rasa bersih dan tidak makan rasuah, apa yang hendak ditakutkan.

Daripada semua Ahli Parlimen PH yang mengisytiharkan harta mereka, Merak Jalanan tertarik dengan kekayaan yang dimiliki Ahli Parlimen Segamat, Edmund Santhara.

Difahamkan, kekayaan milik ahli PKR itu setakat Mac lalu adalah berjumlah RM132.83 juta! Dengan kekayaan melampau milik Santhara itu, boleh dikatakan semua orang rasa terkejut. Namun sehingga hari ini, dirinya tetap bersih kerana tidak pernah diganggu oleh SPRM.

Disebabkan beliau ialah ahli Parlimen yang terkaya di Malaysia, beliau baru-baru ini menyatakan rasa bimbang mengenai keselamatan diri dan keluarganya.

Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof pula menasihatkan beliau jangan rasa bimbang kerana tiada bukti kukuh menunjukkan pengisytiharan harta akan membahayakan keselamatan seseorang ahli Parlimen.

Artikel Berkaitan:

Merak Jalanan mahu tabik kepada semua ahli Parlimen yang responsif di atas kejujuran dan tanggungjawab mereka untuk bersikap terus terang kepada rakyat.

Bagi ahli Parlimen pembangkang pula, dinasihatkan ikutlah langkah itu kerana bak kata pepatah, berani kerana benar. Kalau tak buat salah, apa nak takut?