Kaji semula ekosistem sukan

Mirnawan Nawawi
Mirnawan Nawawi
A
A
A

EKOSISTEM sukan di negara ini perlu dikaji semula bagi menghasilkan pasukan kebangsaan diwakili oleh atlet berbilang kaum sebagaimana satu ketika dahulu.

Legenda sukan hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi berkata, pada masa kini sukar menyaksikan pasukan kebangsaan diwakili atlet pelbagai bangsa.

Menurutnya, usaha menghasilkan atlet berbilang kaum mewakili pasukan kebangsaan memerlukan penglibatan dari peringkat persekolahan.

"Hari ini sukar untuk mencari pemain hoki berbangsa Cina dan Chua Boon Huat adalah atlet Cina yang terakhir beraksi untuk pasukan hoki kebangsaan.

"Pasukan kebangsaan adalah 'end product' untuk setiap sukan. Sebenarnya ahli sukan itu sendiri bermula dari sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah sukan dan diserapkan ke pasukan kebangsaan.

"Jadi kalau di sekolah yang tak ada pemain dari kaum Cina, India, kaum Sikh, kita kena lihat apakah kekurangan dalam sistem persekolahan kita. Zaman saya dulu memang ramai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena program Sweat & Shoot: Sukan Tanpa Diskriminasi anjuran Sinar Harian dan Sin Chew Daily di pekarangan Kumpulan Karangkraf semalam.

Sementara itu, Mirnawan berkata, penganjuran program Sweat & Shoot: Sukan Tanpa Diskriminasi semalam berjaya mencapai objektifnya bagi menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, program anjuran Sinar Harian dan Sin Chew Daily itu secara keseluruhannya dilihat sebagai program murni bagi menggalakkan perpaduan kaum di Malaysia.

"Semoga usaha yang murni ini dapat membantu menggalakkan perpaduan kaum dalam negara kita khususnya menerusi medium sukan," katanya.