Aktiviti seni, kebudayaan di Maran kembali rancak

Shahaniza mencanting batik sambil diperhatikan Mohd Ariffin (dua dari kiri) sempena perasmian mesyuarat pertama pertubuhan tersebut di Lanab Qalbu Maran.
Shahaniza mencanting batik sambil diperhatikan Mohd Ariffin (dua dari kiri) sempena perasmian mesyuarat pertama pertubuhan tersebut di Lanab Qalbu Maran.
A
A
A

MARAN - Selepas lebih 10 tahun, aktiviti seni dan kebudayaan di daerah ini kembali rancak dengan kewujudan semula Pertubuhan Majlis Kebudayaan Daerah Maran pada tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Mohd Ariffin Awang Ismail berkata, pertubuhan itu adalah salah satu usaha bagi memartabatkan seni kebudayaan di daerah itu yang juga terkenal dengan kepelbagaian seni dan budayanya.

Menurutnya, daerah itu terkenal dengan dikir rebana selain pencak silat, pembuatan tanjak, keris dan permainan tradisi lain.

"Untuk aktiviti pembuka tirai, kita sedang berusaha menganjurkan pertandingan Gendang Pahang di Arena Chenor dalam tempoh terdekat dengan menghimpunkan seluruh penggiat dan kumpulan di negeri ini.

"Selain itu bagi dikir rebana agak sukar diadakan namun kita akan berusaha untuk mengadakan aktiviti tersebut," katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita sempena perasmian mesyuarat pertama pertubuhan itu yang disempurnakan oleh Exco Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin di Lanab Qalbu Maran di sini semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luit,Mohd Sofian Abd Jalil dan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKNN) Pahang, Dayang Kartini Awang Bujang.

Ujar Mohd Ariffin, beliau juga menyasarkan kira-kira 200 penggiat dan aktivis menyertai pertubuhan itu pada tahun depan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Shahaniza menyambut baik dan memberikan sokongan terhadap pertubuhan tersebut yang disifatkan satu langkah baik dalam memartabatkan seni budaya daerah itu.

Beliau juga mengumumkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada pertubuhan terbabit yang turut menerima jumlah sama daripada kerajaan negeri.