Kalah pilihan raya: Pembangkang Britain mohon maaf

Jeremy Corbyn. - Foto AFP
Jeremy Corbyn. - Foto AFP
A
A
A

LONDON - Ketua pembangkang utama Britain, Jeremy Corbyn hari ini memohon maaf kepada penyokongnya selepas Parti Buruh pimpinannya tewas dalam Pilihan Raya Umum United Kingdom (UK), Khamis lalu.

Corbyn bagaimanapun tidak memberi sebarang petunjuk jelas bila beliau akan melepaskan jawatannya.

"Hasil keputusan pilihan raya Khamis lalu adalah untuk semua orang yang terdesak inginkan perubahan sebenar di negara kita.

"Saya mahu menyatukan negara yang disayangi ini tetapi tidak mampu dan saya bertanggungjawab untuk itu," katanya.

Dalam pemilihan terbaharu UK itu, Parti Konservatif diketuai Perdana Menteri Boris Johnson diberi mandat untuk membawa Britain keluar dari Kesatuan Eropah (EU) pada hujung bulan depan.

Sehari selepas pilihan raya diadakan, Corbyn mengumumkan akan meletak jawatan awal tahun depan.

Bagaimanapun, Parti Buruh tidak mempunyai pengganti yang jelas dan kini sedang berbalah dalam kalangan pimpinan kanannya. - AFP

Artikel Berkaitan: