Pemuda Pas Kedah lakar sejarah wujud dua institusi pendidikan baharu

Khairil Nizam (tiga dari kanan) bersama sebahagian Pemuda Pas ketika merasmikan pembukaan SMITI Kedah di SMITI Darul Izzah, Kampung Perupok, Yan di sini Jumaat lalu.
Khairil Nizam (tiga dari kanan) bersama sebahagian Pemuda Pas ketika merasmikan pembukaan SMITI Kedah di SMITI Darul Izzah, Kampung Perupok, Yan di sini Jumaat lalu.
A
A
A

YAN - Dewan Pemuda Pas Kedah melakar sejarah tersendiri apabila mewujudkan dua institusi pendidikan baharu dikenali sebagai Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI).

Ketua Pemuda Pas, Ir Khairil Nizam Khairudin berkata, sekolah berkenaan adalah SMITI Darul Izzah dan SMITI At-Taqwa bertempat di Yan.

Beliau berkata, penubuhan SMITI dilihat melengkapkan lagi alur pendidikan ditawarkan sayap Pas selepas Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) dan Sekolah Rendah Integrasi Tunas Islam (SRITI) yang kini mempunyai banyak cawangan di seluruh negara.

"Kini Pas melengkapkan institusi pendidikannya iaitu Taman Asuhan Tunas Insan (Tasti), Pasti, Sekolah Rendah Integrasi Tunas Islam (SRITI), SMITI dan Kolej Universiti Pakej Pendidikan Berkebajikan.

"Melalui penubuhan institusi itu semua pelajar-pelajar SMITI diharapkan menjadi pelapis kepada perjuangan islam di era penuh pancaroba, seperti ancaman pemikiran liberal, perlembagaan, rasis serta tekanan ekonomi mendesak," katanya ketika merasmikan pembukaan SMITI Kedah di SMITI Darul Izzah, Kampung Perupok, Yan di sini Jumaat lalu.

Sehubungan itu katanya, sekolah itu ditubuhkan mendidik anak muda dengan acuan Islam, contoh kepada sekolah lain, membentuk integrasi nasional dan membina pimpinan pelapis kepada Pas dan negara.

Katanya, SMITI ditubuhkan dengan misi melahirkan generasi soleh pintar rabbani dan visi memberikan pendidikan peringkat menengah berasaskan kurikulum bersepadu meliputi tahfiz, fardhu ain dan fardhu kifayah melalui persekitaran yang kondusif.

"Jadi, kita berharap dapat menawarkan peluang pendidikan berteraskan islam di peringkat sekolah menengah kepada anak-anak rakyat Malaysia sekali gus menyediakan dan melaksanakan kurikulum pendidikan yang standard, selaras, bersepadu dan berintegrasi meliputi akademik, diniah dan tahfiz," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya berharap dapat melahirkan generasi Islam yang beriman, berakhlak dan berilmu serta memahami islam sebagai agama yang lengkap dan syumul.

"Selain itu melahirkan generasi muda dengan ketrampilan sebagai da'i dan pemimpin yang menghafal dan menghayati isi kandungan al-Quran dan hadis serta menguasai ilmu syari'e dan waqi'e," katanya.