X

Kindly register in order to view this article
!

Operasi cari nelayan jatuh laut dihentikan

Lokasi nelayan terjatuh selepas bot dinaiki dibadai ombak. Gambar kecil: Noorzainy
A
A

KEPALA BATAS - Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) yang dibuka di Kuala muda, Penaga sejak Rabu lalu untuk mencari seorang nelayan yang terjatuh ke laut ditutup pada jam 6 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, penutupan pusat kawalan tersebut selepas lima hari beroperasi disebabkan tiada sebarang petunjuk diperoleh berkaitan mangsa yang hilang.

Beliau berkata, usaha mencari mangsa yang dipercayai hilang di kawasan Mukah Head itu telah diadakan tanpa henti oleh semua agensi berkenaan sejak hari pertama sehingga penutupan operasi PKTK.

"Operasi mencari itu melibatkan penugasan daripada pelbagai agensi antaranya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Persatuan Nelayan Penaga.

"Pasukan Polis Marin dan polis termasuk unit udara turut terlibat dalam penugasan mencari tersebut,

"Skop pencarian telah dilaksanakan dengan membuat pembahagian sektor dalam usaha untuk mencari dan menyelamat mangsa," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, penutupan pusat kawalan ini adalah bersifat sementara sehingga menemui petunjuk baharu.

"Usaha mencari dan menyelamat mangsa akan diaktifkan segera sekiranya polis memperoleh maklumat sahih melalui pemantauan yang dilaksanakan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Hotline Ibu pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara di talian 04-5759122 atau menghubungi balai polis berdekatan bagi memudahkan lagi usaha mencari dan menyelamat mangsa," katanya.

Rabu lalu, seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke laut ketika merawai ikan tenggiri bersama seorang rakan dan tekong bot di perairan Muka Head di sini.

Dalam kejadian jam 10.40 malam itu, mangsa, Muhamad Redzuwan Ahmad Shafie, 21, bersama rakannya, Azrun Ahmad, 37, terjatuh ke laut sebaik bot dibadai ombak.

Difahamkan, Muhamad Redzuan tidak sempat memaut bot sebelum dia dilihat terkapai-kapai dan hilang dibawa arus.

Dalam kejadian itu, Azrun sempat naik menyelamatkan diri manakala tekong terselamat kerana hanya terjatuh di dalam bot.

Ketiga-tiga nelayan berkenaan turun ke laut untuk merawai ikan tenggiri sejak jam 4 petang, 11 Disember lalu dari Jeti Kuala Muda, Penaga.

Kejadian berlaku dalam jarak 30 batu nautika dari jeti berkenaan.