X

Kindly register in order to view this article
!

'Alif pergi jumpa papa ye? Rehatlah di sana...' - Nora

Tinggal kenangan, Nora bersama Alif. - FOTO: Instagram Nora Ariffin
A
A

JENAZAH Alif Johan, anak kepada penyanyi Nora Ariffin yang meninggal dunia secara mengejut pada pagi Sabtu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur, berdekatan dengan pusara arwah bapanya, petang tadi.

Terdahulu hasil bedah siasat ke atas jenazah Alif atau nama lengkapnya Muhammad Syakir Alif Johan, 20, tidak memberikan petunjuk yang pelik tentang punca kematiannya.

Nora dalam satu temubual bersama media mendedahkan, analisis doktor menyatakan Allahyarham tidak mempunyai masalah serius, malah saluran darahnya juga dalam keadaan yang baik.

“Alhamdulillah, hasil bedah siasat menunjukkan tiada apa yang pelik timbul (sebagai punca kematian). Saya berpuas hati dengan apa yang dilaporkan pihak hospital,” jelasnya..

Bagaimanapun, kata Nora, pihak doktor ada memaklumkan jantung allahyarham agak lemah dan membengkak ketika kejadian berlaku.

Dalam pada itu Nora mengakui pada awalnya tidak mahu bedah siasat dilakukan ke atas anak keduanya itu, sama seperti ketika permergian arwah suaminya, Johan Nawawi sebelum ini.

Namun disebabkan usia Alif yang masih muda dan meninggal di rumah, dia akur berbuat demikian untuk mengikut prosedur polis dan atas nasihat keluarga.

Pada pagi Sabtu Alif dilaporkan rebah dan tidak sedarkan diri di rumahnya di Petaling Jaya sebelum disahkan meninggal dunia.

“Saya ampunkan segala dosa anak saya. Selama 20 tahun, tidak pernah meninggi suara kepada saya. Tiap-tiap hari dia akan bertanya khabar saya. Anak yang selalu ingin lihat saya bahagia.

“Alif pergi jumpa papa ye? Rehatlah di sana. Semoga Allah tempatkan Alif bersama orang-orang beriman. Al-Fatihah,” luah Nora menerusi Instagramnya hari ini.

Nora menyifatkan kehilangan ini sebagai ujian kali kedua buatnya selepas kehilangan suami, Johan Nawawi, yang juga komposer terkenal pada 24 Mac 2017.