Sweat & Shoot capai matlamat

Farah (dua dan kiri) dan Lee Chin (kiri) tidak menjangka sambutan diterima Sweat & Shoot: Sukan Tanpa Diskriminasi amat menggalakkan.
Farah (dua dan kiri) dan Lee Chin (kiri) tidak menjangka sambutan diterima Sweat & Shoot: Sukan Tanpa Diskriminasi amat menggalakkan.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pegawai Operasi Group Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin berpuas hati dengan penganjuran Sweat & Shoot: Sukan Tanpa Diskriminasi dan menyifatkan program itu mencapai matlamatnya.

Menurutnya, jumlah peserta juga menepati jangkaan dan lebih menggembirakan peserta tidak terdiri daripada hanya satu kaum sebaliknya diindahkan dengan kehadiran orang Melayu, Cina dan India.

“Saya berpuas hati sebab peserta yang datang seperti dijangka, mereka datang dari pelbagai kaum, lapisan usia. Itu yang memang kita harapkan

“Sebab utama kita anjurkan pertandingan bola keranjang kerana stigma masyarakat menganggap permainan ini hanya dimainkan orang Cina, bola sepak pula hanya dimainkan orang Melayu.

"Tapi hari ini (semalam) saya fikir tanggapan mereka salah. Ada pemenang bola keranjang terdiri daripada orang Melayu, street soccer pula, orang India menjuarainya. Saya nampak perpaduan jelas terserlah dalam program ini,” katanya ketika ditemui usai program hari ini

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan program tersebut akan dibawa ke peringkat daerah pula selepas ini seperti saranan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.

“Macam Pengerusi kata, beliau nak bawa program ini ke peringkat daerah. Jadi selepas ini saya dan pasukan Sin Chew Daily perlu bincang bagaimana nak buat ke negeri-negeri lain juga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi (Kandungan dan Pemasaran) Sin Chew Daily, Tan Lee Chin sewaktu ditemui mengakui terkejut dengan sambutan menggalakkan ditunjukkan semua pihak yang terlibat dalam program berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pertandingan sukan anjuran bersama akhbar Sinar Harian dan Sin Chew Daily itu ternyata memenuhi objektif menjadikan sukan medium menyatupadukan rakyat Malaysia berbilang bangsa, agama dan budaya.

"Melihat kejayaan penganjuran program ini, Sin Chew Daily amat berbesar hati untuk terus menjalinkan kerjasama dengan Sinar Harian yang merupakan akhbar berbahasa Melayu terunggul di Malaysia pada masa hadapan.

"Di samping itu sambutan menggalakkan ditunjukkan golongan belia dalam sukan e-sport juga menampakkan potensi kerjasama dua akhbar ini pada masa hadapan bagi mempromosi sukan itu amat cerah," katanya.