Syarikat After Image urus TRW

Wan Rahim (tengah) selepas menandatangani MoU dan kerjasama dengan After Image di sini hari ini.
Wan Rahim (tengah) selepas menandatangani MoU dan kerjasama dengan After Image di sini hari ini.
A
A
A

PASUKAN bola sepak Kelantan akan diuruskan oleh syarikat After Image Sdn Bhd sebagai sebuah rakan kongsi yang bernaung di bawah Team Red Warriors Sdn Bhd (TRW).

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Wan Rahim Wan Abdullah berkata, selepas ini TRW akan bekerjasama dengan Kafa untuk menguruskan pasukan untuk aksi Liga Perdana musim depan.

"Selain itu kita juga ada penaja-penaja lain yang akan bersama dengan kita dan penajaan ini bermula daripada tiga peringkat utama iaitu awal musim, pertengahan dan bermula bulan April.

"Kontrak penajaan mereka juga tiada tempoh tetap iaitu secara terbuka," katanya kepada media di sini hari ini.

Terdahulu, Wan Rahim hadir bersama kepimpinan tertinggi Kafa iaitu Datuk Seri Afandi Hamzah sebagainya.

Pada majlis yang sama turut diumumkan Datuk Wan Rakemi Wan Zahari kini dilantik sebagai Bendahari dan Pengurus TRW berkuat kuasa hari ini.

Wan Rahim berkata, pihaknya tetap mensasarkan pasukan TRW kembali ke Liga Super 2021 dan semua latihan, pengurusan dan keperluan untuk kembali ke landasan asal itu sedang dilakukan pihaknya dan penaja.

Mengulas mengenai hutang yang membebani pasukan itu, Wan Rahim berkata, sejak beberapa bulan lalu, pihaknya dan After Image telah melakukan beberapa urusan melibatkan bayaran gaji pemain tempatan, import dan beberapa urusan melibatkan beberapa agensi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"Kita cuba selesaikan hutang terdahulu bagi memastikan Kelantan dapat beraksi kembali. Menurut perbincangan sebelum ini, untuk musim 2020 sahaja, kita memerlukan lebih RM6 juta dan sudah ada beberapa syarikat yang setuju untuk bekerjasama namun masih di peringkat perbincangan.

"Kita juga membuat keputusan untuk kekalkan Yusri Che Lah sebagai Ketua Jurulatih dan menyerahkan semua pengurusan pemain kepada beliau sama ada pertukaran pemain, pemilihan dan apa sahaja cadangan mengenai pemain akan diuruskan beliau.

"Beliau juga sedang menyusun senarai potensi pemain-pemain yang akan dikemukakan untuk dimuktamadkan dan selepas itu baru kita buat kontrak untuk pemain yang sedia ada," katanya.

Turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan TRW hari ini ialah Konsortium E-Mutiara Berhad, Rasniaga Motor Sport, Exa Supply and Services Sdn Bhd, Pakaq Gomo Gymnasium, Klinik Premier Wakaf Che Yeh, Excel Printing and Copy Centre dan Al-Quds Umrah and Tours.