Ahli DAP digesa bangun negara, jangan tumpu isu peralihan kuasa PM: Guan Eng

Guan Eng (empat dari kanan) hadir Konvensyen Tahunan DAP Pulau Pinang bersama barisan pemimpin parti di sini hari ini.
Guan Eng (empat dari kanan) hadir Konvensyen Tahunan DAP Pulau Pinang bersama barisan pemimpin parti di sini hari ini.
A
A
A

SEBERANG PERAI - Ahli DAP diingatkan supaya menumpukan usaha membangunkan negara berbanding isu peralihan kuasa di antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, ahli parti perlu menumpukan kepada dua tugas utama iaitu mendengar suara rakyat dan melaksanakan kerja rakyat demi masa depan negara.

Beliau turut mengingatkan supaya tiada pergolakan kuasa dalaman yang akan mencetuskan kestabilan dalam kerajaan.

"Saya minta semua ahli parti (DAP) agar tidak menumpukan kepada peralihan kuasa antara Tun dan Anwar. Jangan ada pihak yang mempersoalkan peralihan kuasa ini kerana Tun telah jelas menyatakan bahawa ia mungkin akan berlaku selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 pada November 2020.

"Tugas penting kita sekarang adalah dua sahaja, dengar suara rakyat, buat kerja rakyat. Itu saja, tak susah. Tahun depan adalah tahun mencabar untuk kita tegakkan janji-janji manifesto pilihanraya umum (PRU) lalu," katanya dalam ucapan pembukaan di Konvensyen Tahunan DAP Pulau Pinang di sini hari ini.

Selain itu beliau yang juga Menteri Kewangan menasihatkan ahli DAP agar tidak membuang tenaga dengan masalah dalaman parti yang tidak akan memberi hasil kepada mana-mana pihak.

"Jangan kita habiskan tenaga dengan isu dan masalah dalaman parti. Jangan lah kita bertelagah sehingga ia jadi isu besar dan dijadikan muka depan (akhbar). Ini tidak akan memberi hasil kepada semua. Saya tidak mahu komen tentang masalah keluarga parti lain.

"Kita pun ada masalah keluarga masing-masing. Tetapi biar lah kita bincang dalam persidangan tertutup, bukannya secara terbuka. Ini kerana, apa-apa yang berlaku antara parti lain, kita pun akan kena tempias, jangan lah. Mari lah kita tumpukan dalam menunaikan manifesto agar rakyat merasa lebih senang berbanding pemerintahan kerajaan dahulu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Guan Eng meminta agar tiada siasatan dijalankan berhubung laporan mengenai nyanyian lagu Negaraku dalam bahasa Mandarin dan Arab.

"Mengapa lagu Negaraku dinyanyikan dalam bahasa Arab tidak menjadi isu, tetapi bila dinyanyikan dalam Mandarin, jadi isu sehingga ada yang membuat laporan polis. Saya harap polis tidak menjalankan siasatan ke atas anak-anak kita, biar kan mereka. Mereka tak ada salah.

"Mereka hanya mengikut teks yang disediakan oleh sekolah dan dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan pada 2014 dan diedarkan kepada semua sekolah pada 2015. Sebab itu, saya rasa, mereka ini hanya diberi peringatan bahawa Negaraku kena nyanyi dalam bahasa Melayu, tak perlu siasatan," katanya.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Bagan itu berkata, DAP tetap dengan pendirian bahawa lagu Negaraku perlu dinyanyikan dalam bahasa Melayu dan bukannya bahasa lain.